Warga media sosial terus menanti keputusan Sampel B seorang atlet kebangsaan yang telah gagal ujian doping dalam satu kejohanan antarabangsa baru-baru ini.

Identiti atlet berkenaan masih menjadi tanda tanya.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memaklumkan pihaknya tidak akan mendedahkan identiti atlet tersebut sehingga keputusan sampel B dikeluarkan dan ianya sah positif.

Ini kerana mengikut peraturan yang ditetapkan persatuan antarabangsa sukan berkenaan, mereka tidak akan mengumumkan nama atlet tersebut sehingga keputusan ujian sampel B selesai.

“Maka kita juga tidak akan mengumumkan nama atlet tersebut sehingga ujian sampel B dibuat. Saya tidak akan mengumumkan nama atlet ini sehinggan sampel B diuji bagi memberi perlindungan kepada atlet tersebut dan juga mematuhi peraturan yang ditetapkan persekutuan antarabangsa sukan terbabit,” katanya.

Warga media sosial terus bertanyakan tentang hasil ujian Sampel B dan mengharapkan ia negatif.








Ada warga media sosial yang mahukan badan induk sukan berkenaan untuk merahsiakan identiti atlet berkenaan sehingga kedua-dua sample didapati positif untuk menghormati individu berkenaan.



Sementara itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap atlet negara yang disahkan positif dalam ujian doping tanpa mengira status individu terbabit.

Setiausaha Agung MOM Datuk Sieh Kok Chi berkata dalam isu tersebut, MOM mempunyai kuasa menyekat atlet terbabit daripada menyertai mana-mana temasya sukan besar termasuk Sukan Olimpik.

"Saya tidak dapat menyebut nama atlet terbabit memandangkan perkara tersebut belum dimaklumkan secara rasmi kepada MOM.

"Kita harap persatuan sukan kebangsaan bijak menyelesaikan masalah terbabit dan mereka perlu menunggu keputusan ujian sampel B terlebih dahulu. Saya rasa hasil ujian sampel B yang dijalankan di sebuah makmal di Norway akan diketahui dalam masa kurang dua minggu lagi," katanya