Kesombongan dan keangkuhan kuasa tidak dapat untuk menyelesaikan isu agama dan kaum, kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata isu agama dan kaum perlu diselesaikan dengan berhemah dan menggunakan kebijaksanaan dakwah kerana ia isu yang merentasi parti dan bangsa.

"Semua tindakan yang dikatakan melanggar undang-undang harus dileraikan cara berhemah dan tidak menunjukkan keangkuhan kuasa.

"Kita mesti faham tugas umat Islam bukan sahaja tegas mempertahankan akidah tetapi kebijaksanaan atau hikmah dakwah itu harus ada," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Anwar menegaskan pendekatan yang angkuh dan sombong hanya akan menimbulkan kesukaran dalam menarik minat dan hormat masyarakat bukan Islam terhadap Islam.

Katanya, sejarah penyebaran Islam telah menunjukkan kebijaksanaan dakwah di seluruh Kepulauan Melayu.

Mengulas isu kalimah Allah, Anwar mengulangi pendirian Pakatan Rakyat yang telah dibuat pada 2010.

Namun beliau menjelaskan, Pakatan Rakyat sentiasa bersedia untuk berdialog dalam isu agama, ekonomi dan kaum dengan Barisan Nasional (BN).

"Jangan biarkan pergelutan politik ini dipanaskan dan membebankan rakyat baik dari segi ekonomi, apatah lagi isu sensitif seperti kaum dan agama.

"Pendirian kita jelas, tapi kita tak menutup ruang untuk rundingan untuk memberi keyakinan supaya akidah dan kedudukan mereka tidak terjejas dan dalam masa sama mempertahankan hak agama dan hak semua agama untuk berasa selesa dengan agama mereka tanpa tekanan atau rasa bimbang," katanya.

Mengenai rampasan Bible yang dilakukan Jabatan Agama Islam (Jais), Anwar berkata persoalan utama yang timbul adalah cara rampasan dilakukan yang disifatkan tidak menghormati sensitiviti agama.

"Cara rampasan itu yang tidak boleh diterima.

"Saya juga tak mahu perkara seperti ini dilakukan kepada orang Islam," katanya.