JOHOR BAHRU: Polis membuka dua lagi kertas siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung tindakannya yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur 3R iaitu agama, bangsa dan diraja ketika berkempen di Johor.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bekas perdana menteri itu akan dipanggil pada Selasa ini, untuk diambil keterangan.

Katanya, siasatan dibuat selepas Presiden Bersatu itu didakwa menjatuhkan hukum haram untuk mengundi calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut disiasat selepas beliau mendakwa kerajaan hari ini seolah-olah tidak faham masalah orang Melayu.

"Jangan pula bila kita buka kertas siasatan, ditangkap dan dituduh dijatuhkan hukum barulah timbul rasa kesedaran ataupun simpati, macam yang tak ada pekerjaan ditangkap.

"Fikir sebelum kita keluarkan kenyataan benda ini kita dah banyak kali cakap banyak isu lain yang boleh digunakan untuk berkempen pilihan raya dan sebagainya tetapi jangan sentuh isu 3R," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pusat mengundi di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru pada Sabtu.

PRK: Sidang Media Timbalan Ketua Polis Negara


Tambah Ayob, buat masa ini, belum ada kertas siasatan baharu dibuka melibatkan pemimpin parti politik berhubung kesalahan isu 3R.

Terdahulu pada Sabtu malam, ketika berucap semasa ceramah perdana di Taman Kempas, Johor Bahru, Muhyiddin mendakwa parti Melayu telah hilang kuasa, selain kerajaan hari ini didakwa seumpama tidak mendalami masalah orang Melayu.

Manakala minggu lalu, Muhyiddin didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa ‘haram memberikan undi kepada Suhaizan’ ketika berucap dalam ceramah perdana di Dataran Utama Kempas, Johor Bahru.