KUALA LUMPUR: Istiadat Berinai Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berlangsung dengan penuh istiadat dan tradisi di Istana Abdulaziz, Kuantan, malam tadi.

Istiadat Berinai ini merupakan sebahagian daripada istiadat perkahwinan diraja yang berlangsung selama tiga hari.

Istiadat ini diadakan sehari selepas Istiadat Akad Nikah yang menyaksikan Puteri Afzan selamat diijabkabulkan dengan FD Idzham FD Iskandar.

Istiadat Akad Nikah tersebut telah disempurnakan oleh Mufti Pahang, Datuk Profesor Asmadi Mohamed Naim, yang diperkenankan oleh Sultan Pahang untuk menjadi wakil rasmi Baginda.

Pada Istiadat Berinai malam tadi, Puteri Afzan tampil anggun dalam busana tradisional berwarna putih, manakala FD Idzham mengenakan baju Melayu sedondon.

Majlis Istiadat Berinai di Istana Abdulaziz, Kuantan, malam tadi. - Gambar/ FB House of Pahang

Istiadat ini turut dihadiri oleh Keluarga Diraja Pahang, termasuk Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istiadat Bersanding dijadualkan berlangsung esok dan rakyat berpeluang menyaksikan siaran langsung istiadat berkenaan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Tasik KotaSAS,.

Majlis perkahwinan diraja ini bukan sahaja menjadi tumpuan rakyat Pahang, tetapi juga menarik perhatian seluruh negara, mencerminkan kekayaan budaya dan tradisi diraja yang masih dipelihara sehingga kini.

Majlis Istiadat Berinai di Istana Abdulaziz, Kuantan, malam tadi. - Gambar/ FB House of Pahang