KUALA LUMPUR: Istana Negara hari ini memuat naik paparan grafik tentang Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Menerusi satu paparan grafik yang dimuat naik di laman Instagram rasmi Istana Negara, Agong berpandangan perkara itu perlu selepas Tuanku memperhalusi pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, dan sembah taklimat pakar dari agensi kerajaan.

Menurut paparan grafik itu lagi, siding Parlimen perlu dipanggil segera bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan Ahli-ahli Dewan Rakyat.



BACA: Parlimen perlu bersidang secepat mungkin - Agong

BACA: Tiada keperluan letak negara dalam darurat selepas 1 Ogos - Raja-Raja Melayu

Terdahulu, Istana Negara telah memuatnaik paparan grafik berkenaan, dengan beberapa frasa telah ditebalkan (bolded).

Paparan itu telah dipetik beberapa ahli politik dan media, seolah-olah memberi pengertian bahawa Agong menekankan sekali lagi konteks ‘secepat mungkin’ yang Tuanku titahkan.

Bagaimanapun, hantaran itu ditarik dalam tempoh kurang satu jam, dan ia telah dimuat naik semula di semua laman media sosial Istana Negara kira-kira pukul 5 petang, tanpa sebarang perkataan yang ditebalkan

Dalam satu kenyataan selepas selesai Perbincangan Khas Agong dan Raja-raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu paltform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan isu khususnya berkaitan penularan wabak COVID-19.

Pada tambah Ahmad Fadil, dengan pembukaan semula Parlimen, Baginda berpendapat ahli-ahli Dewan Rakyat juga boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara.

Dalam kenyataan susulan Majlis Raja-raja Melayu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, Raja-raja Pemerintah senada dengan Agong agar Parlimen dibuka secepat mungkin.

Selain itu, Syed Danial berkata, Raja-raja Melayu juga berpendapat tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos ini.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan media sebagai berkata, Agong tidak menitahkan tarikh sebenar Parlimen perlu dibuka.

Dalam wawancara khas bersama Harakah, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum itu, bahawa Parlimen boleh bersidang sekitar September atau Oktober, bertepatan dengan saranan 'secepat mungkin' yang dizahirkan Al-Sultan Abdullah.