TANGKAK: Operasi memburu lelaki berketurunan Rohingya yang dikenali sebagai ‘Long Tiger’, giat dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak dengan bantuan IPD berhampiran termasuk negeri jiran.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, bantuan itu membabitkan pegawai dan anggota polis dari IPD Muar, Segamat dan Jasin, Melaka.

Malah jelasnya, pihaknya turut melaksanakan Ops Tutup di laluan keluar dan masuk ke daerah itu bagi menjejaki suspek yang lolos dari lokap Mahkamah Majistret, di sini semalam.

“Kita telah mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah ini serta turut menggunakan khidmat anjing pengesan dalam usaha mengesan suspek.

“Operasi memburu suspek masih berjalan sejak semalam sehingga kini, polis masih belum mendapat sebarang petunjuk berhubung lokasi sebenar tahanan itu,” katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam, ‘Long Tiger’ atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32 tahun berjaya melarikan diri ketika menunggu proses perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak terhadap Seksyen 388 Kanun Keseksaan yang dihadapinya.

BACA: Long Tiger buat hal, lolos dari lokap mahkamah

Dalam kejadian kira-kira jam 11.55 pagi itu, suspek dikesan lolos menggunakan pintu hadapan kompleks mahkamah berkenaan dalam keadaan tangan bergari.

Semasa kejadian, beberapa kakitangan mahkamah cuba mengejar, namun jarak antara mereka terlalu jauh dan kemudian suspek terus melarikan diri ke kawasan semak berdekatan sebelum menghilang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi pegawai penyiasat IPD Tangkak di talian 06-9781222 sambungan 7465 atau menghubungi balai berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.