KUALA LUMPUR: Rancangan pendidikan awal bagi murid berkeperluan khas sebenarnya bermula sejak kanak-kanak itu masih di dalam kandungan.

Pakar Pendidikan Awal Kanak-kanak, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Madya Mastura Badzis berkata, mengetahui perkembangan anak dari awal membolehkan ibu bapa membuat persiapan sewajarnya khususnya apabila memilih intitusi pendidikan bersesuaian.

"Memang sepatutnya ibu bapa kenal pasti perkembangan anak, kalau pakar dia boleh kesan bagi membolehkan proses intervensi berlaku seawal yang mungkin.

"Kita di Malaysia bernasib baik kerana ada pemantauan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mereka ada buku yang catatkan perkembangan fizikal kanak-kanak. Selain itu, ada juga dicatatkan perkembangan dari segi kognitif, sosial, emosi dan sebagainya.

"Cara paling asas nak kenal pasti pendidikan yang bersesuaian ialah kita kena faham perkembangan asas anak, jadi ibu bapa, guru masyarakat harus diberi pendedahan secukupnya.

"Kita ada program pendidikan khas integrasi, dari situ dengan kerjasama KKM dan guru serta pangkalan data, kita boleh bantu mereka seawal mungkin," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Ahad.

Mengulas tentang kualiti pendidikan prasekolah bagi murid berkeperluan khas di Malaysia, Dr Mastura berkata penilaian kualiti secara keseluruhan agak kompleks kerana terdapatnya institusi prasekolah yang tidak berdaftar.

"Setakat pengetahuan saya, satu zon harus ada satu sekolah yang mempunyai program khas tetapi masalahnya, kita ada banyak agensi yang terlibat seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Perpaduan, Jabatan Kemajuan Masyarakat.

"Kalau swasta pula ada yang dimiliki individu, ada bawah organisasi bukan kerajaan (NGO). Jadi jika tidak berdaftar, susah untuk kenal pasti yang mana ada menyediakan program khas dan yang mana yang tidak," ujarnya.

Tambahnya, kualiti berkait rapat aspek koordinasi dan terdapat keperluan untuk mewujudkan atau meletakkan satu yang akan menyelia bagi membolehkan perkembangan murid dipantau, selain memastikan kualiti pembelajaran dan guru.

"Harus ada kesinambungan antara taska dan tadika, bagaimana kesinambungan dengan tadika, sejauh mana pemantauan pelaksanaan kokurikulum dan latihan yang diterima guru-guru juga main peranan," katanya lagi.