Pada tahun 1998, ketika tahun kedua pengajian Sarjana Muda, masih saya ingat betapa terujanya kami apabila pensyarah kursus Sains Bahan Dr Sam Ramrattan, pensyarah, menerusi program The Midwest Universities Consortium for International Activities, Inc. (MUCIA), mengumumkan bahawa ujian Sains Bahan adalah secara buka-buku.

Kami begitu gembira, kerana kami dibenarkan membawa semua jenis bahan rujukan.

Apa lagi, maka berbondong-bondonglah saya dan rakan-rakan sekuliah membawa bagasi penuh ke dewan peperiksaan.

Hari ini, peperiksaan di Universiti berasaskan konsep dalam talian buka-buku dilaksanakan buat kesekian kalinya.


Seawal membuka kertas soalan, kami seolah-olah dipukau dan sepertinya tidak tahu di mana dan bagaimana mahu bermula. Seperti selama ini kuliahnya sia-sia sahaja.

Dewan yang sunyi menjadi hingar dengan bunyi kertas yang diselak-selak tanpa henti.

Kami semua jenuh mencari muka surat lagi dan lagi, cuba mencari apa yang ditanya untuk memulakan penulisan jawapan.

Malang sekali, ujian berjalan dengan begitu pantas, jari penat menyelak halaman pelbagai jenis buku yang tidak cukup sebuah.

Apabila diumumkan masa menjawab tamat, dengan wajah kelat kertas jawapan dihantar dan benarlah telahan kami, markah yang diperolehi adalah mendukacitakan.

Inilah, realiti yang pernah saya sendiri alami berkaitan ujian secara buka-buku.

Hari ini, peperiksaan di universiti berasaskan konsep dalam talian buka-buku dilaksanakan buat kesekian kalinya dan menjadi sebahagian kebiasaan baharu buat warga pendidikan tinggi.

Soalnya, bersediakah kita dalam mendepaninya atau pelajar masih dalam leka yang serupa?

Mampukah pensyarah menghasilkan soalan yang setanding dengan kebenaran merujuk semua sumber yang diberikan kepada pelajar?

Sejauh manakah peperiksaan buka-buku ini tidak mencacatkan keberhasilan graduan untuk memasuki dunia pekerjaan?

Utuhkah nilai integriti pelajar menikmati peperiksaan tanpa kawalan fizikal pengawas?

Peperiksaan buka-buku, sama ada secara dalam talian atau fizikal membawa mesej bahawa pelajar mesti melakukan penghijrahan kaedah pembelajaran


Pertama

Peperiksaan buka-buku, sama ada secara dalam talian atau fizikal membawa mesej bahawa pelajar mesti melakukan penghijrahan kaedah pembelajaran.

Apabila merujuk semua bahan sama ada bercetak atau secara dalam talian diberikan kebenaran, tidaklah bermakna persiapan hanya ala kadar sahaja.

Peperiksaan buka-buku seharusnya tidak menguji kemahiran mengingat, tetapi pelajar mesti tahu di mana perlu dirujuk untuk dihuraikan dalam skrip jawapan.

Bukannya, apabila dibuka sahaja kertas soalan seolah-olah semua seperti tidak pun pernah dipelajari.

Ini berlaku disebabkan silap faham iaitu peperiksaan buka-buku tidak memerlukan ulangkaji.

Jika begitu, masa yang diperuntukkan menjawab soalan peperiksaan buka-buku hanya akan dibaziri dengan aktiviti menyelak halaman demi halaman untuk mencari definisi, formula dan contoh penyelesaian.

Sedangkan matlamat utama peperiksaan buka-buku menjurus kepada kemahiran berfikir tahap tinggi.  


Kedua

Pembinaan soalan untuk peperiksaan secara buka-buku oleh pensyarah sudah tentu memerlukan kemahiran dan penelitian yang mendalam.

Ini amat penting bagi memastikan hasil pembelajaran kursus dapat diukur dan mencapai sasaran keberhasilnnya.

Menyedari bahawa pelajar boleh merujuk semua jenis bahan, soalan buka-buku hendaklah dengan aras taksonomi yang sewajarnya.

Soalan hendaklah bersifat aplikasi ilmu untuk penyelesaian masalah sebenar industri atau masyarakat.

Menerusi soalan bersifat penyelesaian masalah sebenar yang kompleks, daya fikir pelajar dapat diasah dan ini secara langsung dapat melatih pelajar bukan sekadar menghafal dan memuntahkannya semula semata-mata, tetapi mengaitkan teori yang dipelajari dengan aplikasi sebenar.

Keupayaan know-how ini begitu diperlukan dalam dunia pekerjaan yang sebenar, lebih-lebih lagi mendepani cabaran melangkaui dunia VUCA (Volatile, Uncertain, Complex and Ambiguousy) ang serba mencabar dan begitu dinamik.


Ketiga

Tidak keterlaluan jika dikatakan sewajarnya peperiksaan buka-buku telah lama dilaksanakan, malah sebelum kita “dipaksa” untuk berubah oleh COVID-19.

Rasionalnya mudah, peperiksaan sebagai instrumen menilai keupayaan pelajar perlu sebenar-benarnya menilai kebolehan pelajar, tidak hanya kebolehan menghafal.

Umum sedar, peperiksaan tradisional secara tutup-buku berkait dengan keupayaan menghafal dan mencurahkan semula di atas kertas jawapan.

Benar keupayaan mengingat itu penting, tetapi dunia memerlukan tenaga kerja kompeten bertaraf global yang lebih daripada itu.

Lebih memburukkan keadaan, kerana peperiksaan tutup-buku tidak mengizinkan rujukan dibuat, ada yang mencuri kesempatan dengan membawa masuk nota dan bahan rujukan lain ke dalam dewan peperiksaan.

Hari ini apabila semuanya bergantung harap kepada telefon pintar, maka di dewan peperiksaan juga telefon yang menjadi rujukan, kerana kepintarannya berbanding manusia.

Semua bahan kuliahnya disimpan di dalam telefon pintar!


Keempat

Dengan kebiasaan baharu peperiksaan buka-buku ini, ada juga cakap-cakap yang mula bertanya bersediakah majikan menerima graduan buka-buku ini?

Ada pandangan pula mendakwa graduan yang melalui peperiksaan secara buka-buku ini kualitinya tidak setanding dengan sistem peperiksaan tradisional.

Alasannya, pelajar tidak pun melalui peperiksaan, bagaimana mungkin dinamakan peperiksaan jika boleh merujuk bahan semahunya?

Kekhilafan ini mesti diperbetulkan. Sebenarnya, konsep peperiksaan buka-buku ini bukan perkara baharu.

Walapun peperiksaan buka-buku boleh berlaku sama ada secara tradisional (bersemuka) dengan dihadkan bahan yang boleh dibawa atau secara bawa-pulang dan dalam talian, matlamatnya adalah untuk menilai keupayaan pelajar.

Keupayaan untuk mendapatkan maklumat yang relevan dalam tempoh yang dihadkan, memahami, menganalisa, mengaplikasi pengetahuan dan berfikir secara kreatif dan kritis.

Dunia pekerjaan benar-benar memerlukan semua keupayaan ini, iaitu boleh berfikir dengan mendalam dan mencadang penyelesaian kepada organisasi dengan berkesan.


Kelima

Benarkah peperiksaan secara buka-buku dilalui dengan jujur oleh pelajar-pelajar?

Jika dinyatakan boleh merujuk semua bahan, tetapi tidak boleh berbincang dengan pihak lain, tidak juga boleh meminta pihak lain menjawab bagi pihak dirinya (mengupah penulis hantu), sejauh mana kebolehpercayaan ini benar-benar utuh?

Amalan penggunaan borang ikrar akujanji menduduki peperiksaan dengan jujur sebagai mekanisme kawalan adakah tulus atau hanya ikrar palsu? Atau, sudah tiba masanya, pelaburan terhadap teknologi dilakukan dengan segera.

Kepesatan teknologi kepintaran buatan, sains forensik dan keselamatan maklumat perlu dimanfaatkan demi memastikan jenayah akademik ketika peperiksaan dalam talian buka-buku dapat dibendung.

Pengawasan peperiksaan berasaskan kepintaran buatan antaranya pengawasan berasaskan imej, video dan audio telah pun dimanfaatkan di beberapa negara maju.

Ini bagi membolehkan tahap kebolehpercayaan peperiksaan secara dalam talian buka-buku tidak diragui.

Tetapi, semuanya ini juga bergantung harap terhadap aspek kesediaan teknologi. Apabila pelajar menduduki peperiksaan di pelbagai penjuru negara, bersediakah teknologi untuk membantu?

Ternyata, COVID-19 membawa hikmah dengan memaksa kita beransur-ansur meninggalkan budaya peperiksaan secara tutup-buku yang cenderung kepada budaya hafalan kepada peperiksaan buka-buku yang menilai kejujuran dan aplikasi ilmu.

Hari ini, kejujuran semakin tinggi nilainya kerana ramai yang bersikap jujur apabila ada manusia yang memerhati. Apabila tiada, pertimbangan dan hatinya menjadi mati.

Jika peperiksaan menjadi alat untuk mengukur kepandaian, biarlah ukuran ini berlandaskan integriti.

Integriti bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga nilai sesebuah organisasi.

Kita mahu lahirkan graduan yang ampuh integritinya, yang boleh menjulang organisasi, menjulang agama, bangsa dan negara yang dicintai!



** Profesor Madya Dr Afandi Ahmad merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI