Anwar berkata sinergi antara universiti dengan pihak industri dan swasta adalah penting khususnya dalam membangunkan industri semikonduktor serta ekosistem yang berkaitan, selaras dengan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab semikonduktor di rantau ini.
Beliau berkata ia juga bagi memenuhi keperluan mendesak negara yang memerlukan jurutera berkelayakan yang mencukupi dalam industri berteknologi tinggi termasuk industri reka bentuk litar bersepadu (IC).
“Universiti harus memberi ruang sewajarnya kepada industri untuk terlibat dengan lebih agresif. Kita buat penyesuaian dari semasa ke semasa, tetapi cara terbaik untuk mendidik, melatih, serta meningkatkan dan memperbaharu kemahiran adalah dengan memastikan sinergi, kerjasama antara industri dengan institusi pendidikan.
"Penting bagi misi pendidikan memastikan hal ini berlaku dengan pantas dan bersedia untuk membuat penyesuaian," katanya pada Majlis Perasmian Penang Silicon Design @5km+ di Bayan Lepas dekat sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kestabilan politik serta dasar negara yang jelas tidak menjadi kesukaran untuk menarik pelabur, namun isu ekosistem masih menjadi cabaran untuk pelabur datang melabur ke negara ini.
“Pastikan infrastruktur asas itu dijalankan dalam kadar yang segera. Apakah latihannya? Sama ada universiti dapat menumpukan dalam disiplin-disiplin baharu dengan kadar yang cepat.
“Jadi, hal ini ialah peringatan kepada USM (Universiti Sains Malaysia), UUM (Universiti Utara Malaysia) dan pusat berkaitan di Pulau Pinang, universiti di Perak dan Kedah, yang boleh dimanfaatkan untuk memastikan disiplin baharu ini dapat diluluskan dengan cepat," kata beliau.
Beliau juga menyatakan rasa kagum dengan kemampuan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berjaya meluluskan penubuhan Fakulti AI (kecerdasan buatan) dan memulakan program itu dalam tempoh empat bulan, yang menurut Anwar, satu rekod luar biasa di negara ini.
Sementara itu, Perdana Menteri meluluskan geran padanan berjumlah RM50 juta bagi tempoh lima tahun dengan RM10 juta setahun untuk inisiatif Penang Silicon Design @5km+.
Beliau berkata inisiatif Penang Silicon Design @5km+ itu merupakan projek yang membanggakan Pulau Pinang dan mampu melonjakkan kekuatan ekonomi negeri serta negara secara umumnya.
Inisiatif Penang Silicon Design @5km+ yang diterajui Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi agensi utamanya, InvestPenang, dicipta untuk merevolusikan industri semikonduktor Malaysia dan sejajar sepenuhnya dengan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Ia meliputi tiga komponen utama, iaitu Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) dan Digital, Akademi Reka Bentuk Cip Pulau Pinang, dan Pusat Penyelidikan dan Inkubasi Silikon.
Antara tujuan Penang Silicon Design @5km+ ialah menjadikan Pulau Pinang kekal sebagai hab utama industri reka bentuk IC global sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem semikonduktor antarabangsa, membangunkan eskosistem dan infrastruktur sokongan yang kondusif serta dinamik, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan menarik pelaburan langsung asing (FDI), serta mempertingkatkan bakat sedia ada mengikut keperluan industri masa depan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Pulau Pinang sudah dikenali sebagai pusat semikonduktor sejak sekian lama dan inisiatif Penang Silicon Design @5km+ menjadi satu titik sejarah paling penting dalam industri bagi mengangkat Pulau Pinang dan Malaysia menjadi hab semikonduktor global.
Jumlah pelaburan untuk inisiatif Penang Silicon Design @5km+ diunjurkan sebanyak RM120 juta dalam tempoh lima tahun akan datang dan kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM60 juta bagi memacu inisiatif berkenaan.
Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
-- BERNAMA