Ketua Polis negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, arahan sudah dikeluarkan kepada anggota polis bantuan serta pengawal keselamatan yang bertugas di lokasi supaya lebih berwaspada, jika wujud sebarang aktiviti atau pergerakan mencurigakan.
"Polis Selangor sudah mengenal pasti dan masih lagi memburu suspek," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Razarudin memberitahu, polis juga sedang menyiasat motif kejadian dari pelbagai aspek.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan keselamatan orang ramai sentiasa menjadi keutamaan polis dan orang ramai tidak perlu bimbang.
Justeru beliau berharap, orang ramai supaya tidak membuat sebarang sebarang spekulasi atau menyebarkan berita palsu sehingga menimbulkan keresahan.
Polis sebelum ini memaklumkan suspek tembak dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan berusia 30-an, berkulit cerah dan mempunyai rekod jenayah melibatkan 11 kesalahan berkaitan jenayah dan dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan semasa melakukan kesalahan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Kes juga disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)