Ringkasan AI
- Penubuhan Pasukan Petugas Khas: Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas yang terdiri daripada JPJ, APAD, dan Miros untuk menyiasat insiden renjatan elektrik yang meragut nyawa seorang remaja di Pulau Pinang.
- Penggantungan Operasi Bas: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengarahkan APAD untuk menggantung serta-merta operasi bas yang terlibat bagi membolehkan siasatan lanjut oleh JPJ.
- Kenyataan dan Takziah: Anthony Loke menyatakan bahawa kementerian memandang serius insiden tersebut dan ingin memastikan keselamatan penumpang terjamin. Beliau juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pasukan petugas khas ini terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
Menurut Loke, beliau telah mengarahkan APAD untuk segera menggantung operasi bas yang terlibat bagi membolehkan siasatan lanjut oleh JPJ.
"Kementerian Pengangkutan memandang serius insiden renjatan elektrik yang meragut nyawa seorang remaja ketika beliau sedang mengecas telefon dalam bas ekspres yang dinaikinya.
"(Pasukan petugas khas) diaktifkan untuk menyiasat punca insiden tersebut bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang dan keselamatan penumpang sentiasa terjamin. Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mengecas telefon bimbit di soket dalam sebuah bas ekspres di Penang Sentral, Pulau Pinang pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abd Rahman berkata mangsa Mohamad Nur Asymawi Jasmadi,18, ditemukan maut dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang.
Hasil pemeriksaan awal polis terhadap tubuh mangsa mendapati terdapat kesan melecur di jari sebelah kiri, yang disyaki berpunca daripada renjatan elektrik. Pemeriksaan turut mendapati penghujung kabel yang digunakan cair, dan telefon bimbit mangsa berada dalam keadaan panas, katanya.
-- BERNAMA