Malang tidak berbau bagi seorang pelajar, Nik Mohd Lutfi Nik Kamaruddin, 14, apabila maut ditimpa tiang gol bola baling di sebuah sekolah menengah di Gua Musang pada Selasa.

Setiap kali kejadian seumpamanya berlaku, rantaian reaksi pun bermula sekali lagi. Teman-teman sepermainan terkejut, ibu bapa dan keluarga berduka, pihak sekolah berusaha membetulkan keadaan, hinggalah kepada pihak pemimpin masyarakat dan kementerian akan masuk campur mengingatkan semula tentang kepentingan menjaga standard keselamatan.

Namun, nyawa begitu berharga dan tidak mungkin dapat diganti. Kejadian seumpamanya bukan asing dilaporkan di negara ini, tetapi sudah berulang kali berlaku dan berakhir sebagai sebuah kenangan ngeri.

Berikut adalah imbasan mengenai kes maut akibat ditimpa tiang gol di negara ini:

12 Julai 2016, KELANTAN


Nik Mohd Lutfi Nik Kamaruddin, 14 meninggal dunia kerana cedera parah akibat ditimpa tiang bola baling di sebuah sekolah menengah di Gua Musang.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa dikatakan terjatuh di depan pintu gol semasa hendak menendang bola kerana padang licing dan secara tiba-tiba tiang gol tumbang, menghempap kepala mangsa.

10 April 2014, JOHOR

Seorang murid tahun dua maut selepas dihempap tiang gol ketika bermain di padang permainan Taman Sri Wangsa, Jalan Parit Besar, Batu Pahat.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6:30 petang, dan mangsa Ahmad Ilham Fikri Ahmad Zaki, 8 meninggal dunia akibat parah di kepala berikutan hentakan yang kuat.

19 September 2011, SELANGOR

Di Klang Selangor, Muhammad Fakhrul Amid Abdul Rahman, 11, maut gara-gara cedera parah di bahagian kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa 1.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang, murid tahun lima itu mengalami pendarahan teruk selain retak tempurung kepala.

4 November 2010, PULAU PINANG

Seorang kanak-kanak, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat cedera parah selepas dihempap tiang gol di padang sekolahnya.

Kejadian yang berlaku di Kepala Batas ini melibatkan murid tahun dua dari Sekolah Kebangsaan Kepala Batas.

30 Januari 2008, KEDAH

Di Sungai Petani, Kedah, seorang murid tahun empat maut selepas dihempap tiang gol ketika bermain di tepi padang Sekolah Kebangsaan Taman Sri Wang (SKTSW).

Kejadian berlaku selepas waktu persekolahan sementara menunggu kedatangan bapanya.

7 Mac 2000, PAHANG

Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah maut selepas dihempap tiang gol ketika bermain di padang sekolah di Kuantan, Pahang.


Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan pentadbir sekolah perlu ambil tindakan proaktif bagi memastikan keselamatan infrastruktur di premis mereka.

Mahdzir mahu pihak sekolah melaporkan dengan segera kepada Pejabat Pendidikan Daerah jika mendapati infrastruktur atau peralatan yang boleh mendatangkan kemalangan.