TANJUNG MALIM: Sisa kayu dan pokok tumbang yang hanyut di Sungai Slim dalam kejadian kepala air di Slim Village pada Jumaat bukan berpunca daripada aktiviti pembalakan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, serpihan berkenaan mungkin melibatkan sisa kayu yang ditinggalkan dan dihanyutkan selepas hujan lebat.

"Saya tidak rasa itu hasil aktiviti pembakalan haram kerana kadang-kadang ada kayu-kayu ditinggalkan yang kemudiannya hanyut akibat arus deras," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan runtuhan Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River-Behrang Ulu di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan kerja-kerja pembersihan sisa kayu tersebut hari ini.

"Pemulihan akan dilakukan segera kerana kita tak nak kalau hujan datang lagi petang ini, segala kayu-kayu tersebut akan dibawa pula ke hilir dan lagi banyak jambatan terlibat (runtuh)," katanya.

Saarani berkata, setakat ini, tiga jambatan runtuh dan terputus laluan iaitu jambatan struktur konkrit di jalan negeri manakala dua lagi merupakan jambatan kampung di Kampung Pasir dan Kampung Sungai Muda yang menghubungkan Kampung Piong.

Katanya, jambatan konkrit di Jambatan Lama Sungai Slim yang mempunyai lebar 7.5 meter dan panjang 77 meter runtuh selepas mengalami kegagalan disebabkan tidak dapat menahan tekanan daripada sisa kayu yang hanyut bersama aliran air banjir.

"Laluan tersebut telah ditutup sementara dan JKR akan melaksanakan pengurusan trafik seperti sistem papan tanda bagi memastikan keselamatan penduduk.

"Saya dimaklumkan, buat masa ini tiada lagi pergerakan tanah berlaku di kawasan ini," katanya.

Sinar Harian melaporkan sekurang-kurangnya 109 orang terperangkap dalam kejadian kepala air dan empangan pecah di Slim Village, Slim River pada Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, maklumat kejadian itu diterima pada jam 6.45 petang melibatkan Kampung Sungai Bil, Sir Zulkifli Campsite Sungai Bil, Kampung Pasir Ulu Slim dan Eco Park Risda, Ulu Slim. - Sinar Harian