Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan insentif sempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM450 bagi setiap peneroka.
"RM450 akan diberikan kepada peneroka FELDA termasuk non-member FELDA dan FELCRA. Bayaran insentif ini akan disemak pada 2019 di mana penerima bantuan sara hidup tidak dapat menerimanya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabatnya di Putrajaya.
Insentif Raya melibatkan peruntukan berjumlah RM94 juta iaitu RM50 juta untuk FELDA dan RM44 juta untuk FELCRA.
"Bagi FELDA, kita memberi insentif Raya di bawah peruntukan Kerajaan sebanyak RM50 juta. Manakala bagi FELCRA, ia diberi berdasarkan keuntungan mereka," tambah Dr Mahathir.
Sementara itu, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menjelaskan, seramai 112,725 peneroka Felda akan menikmati pemberian insentif tersebut.
"Turut akan menerima insentif tersebut adalah seramai 7,431 peneroka bukan ahli," kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pemberian insentif ini adalah bagi meringankan beban kewangan dan kos sara hidup peneroka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.