Demikian kata bekas Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkenaan pendaftaran Program Insurans Am Selangor (INSAN) yang dijadikan isu sejak Selasa lalu.
Beliau berkata, INSAN pada asasnya terbuka kepada tiga kategori penerima iaitu (i) pengundi Selangor, (ii) rakyat kelahiran Selangor dan (iii) rakyat bukan lahir di Selangor tetapi bermastautin di negeri tersebut dengan menggunakan alamat Selangor yang tertera pada kad pengenalan.
Menurutnya, kerajaan Selangor tiada data untuk rakyat kategori (ii) dan (iii) tetapi untuk kategori (i), data boleh diperoleh daripada daftar pengundi yang merupakan data terbuka.
"Pada mulanya, pendaftaran untuk mendapatkan sijil hanya boleh dibuat melalui e-dompet Wavpay, tetapi proses ini lambat dan atas permintaan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) serta orang ramai, maka pendaftaran dibuka juga di (laman) web Insan.
"Untuk memudahkan proses verifikasi, maka data daftar pengundi juga telah dimuatkan ke dalam sistem dan kira-kira seramai 3.56 juta nama daripada daftar pengundi telah dimuatkan dan dianggap sebagai pemohon pra-daftar.
"Oleh itu, ramai yang memohon melalui web dan bukan aplikasi Wavpay," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Sabtu.
Tambahnya, Wavpay juga telah berunding dengan syarikat insurans untuk menambah baik proses iaitu pendaftaran boleh dikecualikan dan pengesahan kelayakan hanya disemak semasa tuntutan.
Pada Selasa, timbul isu pertikaian pengguna didaftarkan tanpa kebenaran menerusi INSAN didakwa menggunakan data peribadi tanpa kebenaran.
Isu tersebut tersebar di media sosial telah menimbulkan kebimbangan awam tentang tahap keselamatan data peribadi.
Menjawab persoalan tersebut, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Rabu menafikan kebocoran data peribadi seperti didakwa sebaliknya maklumat tersebut melalui data awam yang diperoleh melalui SPR.
Amirudin turut menegaskan yang kerajaan negeri akan memantapkan kawalan terutama jika terdapat pelanggaran pada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI Selangor) dalam satu kenyataan berkata, dakwaan terdapat elemen kebocoran data rakyat dan penduduk Selangor bagi pendaftaran INSAN adalah tidak tepat.
Sebaliknya MBI Selangor menjelaskan kerajaan negeri mengambil inisiatif melaksanakan proses prapendaftaran secara automatik dengan memadankan maklumat daripada daftar pemilih SPR dengan nombor kad pengenalan rakyat Selangor susulan menerima aduan kekangan mendaftar skim itu terutamanya daripada warga emas.
Menurut MBI Selangor, walaupun prapendaftaran automatik ini menyediakan polisi kepada rakyat Selangor namun setiap penerima polisi perlu menyempurnakan proses pengesahan diri dan bersetuju menerima tawaran perlindungan tersebut.
Katanya, jika pengesahan tidak dibuat, tuntutan perlindungan sosial RM10,000 untuk kes kematian atau pun kes hilang upaya akibat kemalangan tidak akan diberikan. -Sinar Harian