Kebiasaannya, insiden kematia mengejut seperti yang menimpa remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, akan memerlukan proses inkues, kata peguam yang mewakili keluarga mangsa, Sankara N Nair.

Bagaimanapun, menurut Sankara, penubuhan inkues itu terlalu awal untuk ditentukan dan keputusan itu hanya akan dimaklumkan Pejabat Peguam Negara selepas diserahkan laporan keputusan bedah siasat.

Buat masa ini, jelas peguam itu lagi, mustahil untuk membuat sebarang telahan sehingga keputusan bedah siasat dikeluarkan oleh pihak hospital.

“Saya telah berhubung bersama keluarga mangsa sejak hari kedua lagi, bagaimanapun proses SAR (mencari dan menyelamat) sedang berjalan dan saya masih belum berbincang lanjut bersama keluarga untuk tindakan selanjutnya memandangkan mereka masih bersedih.

“Buat masa ini, mustahil untuk kita menyimpulkan apa-apa maklumat, bagaimanapun kita menyerahkan kepada peguam negara untuk membuat keputuan dan biasanya kes-kes sebegini memerlukan satu inkues,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tunku Ja’afar (HTJ) di sini.


Menyentuh soal emosi keluarga ketika ini, Sankara berkata, mereka berada dalam keadaan trauma dan bersedih.

Katanya, pihak keluarga juga masih belum membuat sebarang perancangan dan hanya menunggu sepenuhnya kepada laporan bedah siasat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, SAC Che Zakaria Othman berkata, proses bedah siasat akan mengambil masa yang lama.

Bagaimanapun, tiada sebarang spekulasi yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah terhadap tempoh yang dijangka melebihi tiga jam itu.

“Buat masa sekarang ni kita jangka bedah siasat akan jalan lebih dua tiga jam dan jangan buat apa-apa spekulasi dengan tempoh berkenaan," kata beliau.

Pada Selasa, mayat mendiang Nora Anne tiba di Jabatan Perubatan Forensik HTJ pada pukul 7.07 malam selepas dibawa dengan helikopter yang mendarat di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, Seremban.

Mayat mendiang kemudian dibawa dengan van Angkatan Pertahanan Awam serta diiringi sebuah kereta peronda polis dan dua anggota polis trafik yang menaiki dua motosikal.

Nora Anne disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai, di sini, oleh keluarganya pada 8 pagi 4 Ogos.

Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

BACA: Pakar patologi kanan HKL ketuai bedah siasat Nora Anne