Prosiding inkues hari kedua bagi mencari punca kematian anggota bomba dan penyelamat Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim diteruskan pada Selasa di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Subang Jaya kira-kira jam 11 pagi.

Pasukan polis dan juga beberapa organisasi media telah mula berkumpul seawal jam 10 pagi sebagai persediaan untuk menantikan ketibaan pihak peguam serta kehadiran Koroner Rofiah Mohamad.

Fokus utama pada hari ini untuk melihat gambaran sebenar bagaimana insiden serangan berlaku terhadap Allahyarham Muhammad Adib.

Tiga saksi utama yang telah memberi keterangan semalam akan turut hadir bagi membantu menceritakan keadaan sebenar ketika situasi serangan berlaku.


Koroner, Rofiah Mohamad bersama barisan peguam dan juga Pegawai Pengendali Inkues tiba di sekitar perkarangan Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 Subang Jaya sekitar jam 11.15 pagi.

Kesemua mereka tiba dengan menaiki van bomba yang turut diiringi pegawai polis. Turut hadir, saksi utama kejadian yang juga merupakan anggota bomba, Md Elliza Mohd Noor dan juga Ahmad Sharill Othman bagi menceritakan situasi ketika serangan berlaku.

Beberapa lokasi turut dilawat yang masih mempunyai kesan termasuk lokasi Allahyarham Muhammad Adib ditemui dalam keadaan parah.

Lawatan seterusnya diteruskan menuju ke Balai Bomba Subang Jaya bagi melihat keadaan jentera Fire Rescue Tender dan juga kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang terjejas akibat rusuhan.