Seramai 82 peserta bersama guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tembila menyertai Program Let's Clean anjuran Majlis Kolej Kediaman E (MKK E) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEPA) UniSZA.

Program ini merupakan salah satu khidmat komuniti MKK dalam mendidik serta memberi kesedaran kepada pelajar sekolah berkenaan kepentingan menjaga kebersihan pantai dan persekitarannya.

Pengarah Program merangkap Exco Kebersihan dan Keceriaan MKK E, Nur Azlina Diana Muhamad Nor Azmi berkata, penganjuran program itu juga secara tidak langsung dapat memberi kesedaran tentang penyakit demam denggi dan membersihkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes yang banyak terdapat di pesisiran pantai seperti tin dan botol-botol kosong yang dibuang oleh pengunjung.

Program ini turut menekankan elemen kebersihan bagi mengelak penyakit seperti demam denggi - Foto AWANI Rangers UniSZA

"Adalah menjadi kewajipan kami untuk menghargai kepentingan berkenaan kebersihan dan usaha untuk memelihara pantai daripada terus tercemar dengan sampah-sarap," katanya kepada selepas perasmian program itu oleh Pengarah Eksekutif Yayasan Harmoni, Datuk Mohd Radzuan Abdullah.

Program ini berjaya menerapkan nilai berkerjasama dalam diri para pelajar dalam melakukan kerja pembersihan pantai secara berkumpulan. Di samping itu, para pelajar dan mahasiswa dapat bersama-sama berkongsi idea dan buah fikiran masing-masing walaupun berbeza institusi pendidikan.

Menurut Azlina Diana, menjadi harapan beliau agar program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dan melibatkan penyertaan yang lebih ramai daripada kalangan mahasiswa, pelajar sekolah dan masyarakat setempat.



*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Wan Fairul Fakhzan Wan Hassan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

**AWANI Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkogsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.