Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan 6.90 peratus kadar dividen untuk Simpanan Konvensional 2017 dengan jumlah agihan dividen sebanyak RM44.15 bilion; dan 6.40 peratus untuk Simpanan Shariah.

Bagi Simpanan Konvensional, ia merupakan kadar dividen tertinggi yang pernah diumumkan sejak 1997.


Prestasi pasaran lebih baik berikutan pengukuhan ekonomi global dan pengurangan risiko luaran

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan merumuskan pulangan pendapatan KWSP adalah mencerminkan prestasi pasaran pelaburan pada tahun 2017.

"Oleh kerana prestasi pasaran global dan domestik yang memberangsangkan ini, KWSP telah mencatat jumlah rosot nilai yang lebih rendah ke atas pegangan saham tersenarai sekali gus merekodkan pendapatan pelaburan yang paling tinggi dalam sejarah KWSP," kata Shahril semasa dihubungi Astro AWANI petang tadi.


Selain itu, antara faktor yang menyumbang kepada pengisyitiharan bersejarah ini ialah pegangan saham luar negara, khususnya saham Asia Timur dan saham pasaran maju.

Prestasi pasaran yang cemerlang pula tertumpu kepada sektor teknologi, pengguna dan perkhidmatan
kewangan, sekali gus membantu meningkatkan jumlah pulangan keseluruhan kepada portfolio
KWSP.


Kali pertama dividen Simpanan Shariah diisytiharkan

Dalam temubual melalui telefon bersama Datuk Shahril Ridza Ridzuan, beliau turut menggariskan beberapa aspek untuk orang ramai memahami perbezaan kadar dividen Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah.

ASTRO AWANI: Apakah faktor
yang mempengaruhi perbezaan prestasi Simpanan Konvensional dan Simpanan
Shariah?


KWSP: Simpanan Shariah telah menunjukkan prestasi yang begitu memberansangkan memandangkan ini merupakan kali pertama dividen Simpanan Shariah diisytiharkan. Kita kena faham beberapa sebab antaranya:
  1. Bagi Simpanan Shariah, pendapatan yang diperolehi hanya daripada bahagian aset patuh syariah.
  2. Pendapatan Simpanan Konvensional pula merangkumi saham-saham tidak patuh syariah yang telah menjana pulangan yang lebih tinggi.
  3. Faktor yang membantu meningkatkan prestasi Simpanan Konvensional adalah prestasi saham perbankan global dan domestik yang amat baik, di mana pendapatannya tidak boleh disalurkan kepada Simpanan Shariah.
  4. Pulangan antara Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional dijangka berbeza dalam jangka masa pendek, bergantung kepada prestasi oleh aset tidak patuh Syariah.
  5. Walau bagaimana pun, pulangan pelaburan kedua-dua simpanan dijangka lebih kurang sama dalam jangka masa panjang kerana kedua-duanya dipandu oleh tujuan dan strategi pelaburan yang sama.
Kekal prestasi cemerlang

Memandang ke hadapan, KWSP terus menganalisis ekosistem ekonomi serta sedia menempuh serba-serbi dan macam-macam cabaran.

Antaranya seperti perubahan dalam dasar kewangan antarabangsa, kadar inflasi yang
meningkat dengan mendadak, dasar pemencilan dan ketidakstabilan kewangan yang boleh mengganggu situasi pasaran.

"Adalah juga penting bagi KWSP untuk terus melabur ke atas aset-aset berkaitan inflasi dan meningkatkan lagi usaha diversifikasi aset merentas segala kelas aset, geografi, dan mata wang supaya kami dapat mengimbangi kemerosotan mana-mana kelas aset atau pasaran," ujarnya.