AGENDA Industri 4.0 yang sering dihalwakan ke telinga merupakan satu era revolusi dunia ke arah teknologi yang lebih pintar.

Terma Revolusi Industri 4.0 dicetuskan buat kali pertama oleh Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan Jerman iaitu Profesor Wolfgang Wahlster dalam ucapan pembukaannya di Pameran Perdagangan Hannover pada tahun 2011.

Industri 4.0 merupakan hasil inovasi teknologi digital yang lebih canggih dan bersepadu berbanding tiga revolusi sebelumnya.

Melalui Industri 4.0 teknologi digital yang berteraskan Internet of Things (IoT), Artificial Intelligence (AI), Big Data, sistem komunikasi mudah alih, perisian dan simulasi serta integrasi sistem digital telah dibangunkan.

Elemen baharu yang diperkenalkan ini diyakini dapat mencorak kemajuan dalam landskap sedia ada dan jika diapklikasikan, ia mampu memberi kesan positif kepada ekonomi global.

Industri maritim yang merupakan pemacu ekonomi Malaysia juga tidak terkecuali mengalami tempias gelombang Industri 4.0.

Kehadiran teknologi digital yang lebih canggih ini telah memberi impak yang besar kepada ekosistem industri maritim.

Terkini, sistem automasi telah mula mengambil alih sistem sedia dalam sektor perkapalan dan pelabuhan.

Selain itu, Industri 4.0 juga mampu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi maritim melalui integrasi teknologi pintar dalam sektor logistik dan rantaian bekalan maritim.

Namun, di sebalik manfaat yang diraih, industri maritim juga berdepan cabaran baharu dalam transformasi digital ini.

Industri 4.0 juga dilihat sebagai tanpa sempadan dimana tiada garis pemisah antara teknologi dengan manusia.

Adaptasi terhadap teknologi digital ini dikhuatiri memberi kesan ke atas keperluan tenaga kerja berkemahiran rendah yang mungkin terjejas.

Peningkatan pengangguran bakal berlaku kerana fungsi mereka akan digantikan dengan penggunaan teknologi automasi dan robotik.

Kebergantungan sepenuhnya kepada teknologi digital juga menyebabkan sektor perkapalan terdedah kepada ancaman keselamatan siber.

Serangan siber menjadi kebimbangan utama bagi kebanyakan pemilik syarikat perkapalan.

Justeru, hal ini perlu mendapat perhatian khusus kerana kedudukan strategik Malaysia di laluan perkapalan utama dunia.

Jadi, sekiranya cabaran ini tidak diberi penekanan sewajarnya, ia boleh menyebabkan Malaysia jauh ketinggalan dalam persaingan di peringkat global.

Kekangan seperti kurangnya pemahaman tentang konsep Industri 4.0 di kalangan pemain industri dan ketersediaan terhadap keperluan perubahan juga perlu diatasi.

Semua pemain industri perlu bertindak pantas seiring dengan perkembangan teknologi yang dihasilkan melalui Industri 4.0 agar dapat bersaing di peringkat global.

Justeru, untuk kekal berdaya saing, Malaysia seharusnya membuat persediaan yang komprehensif dalam menghadapi perubahan ini.

Antara langkah yang perlu diambil untuk menangani cabaran ini ialah dengan memperkasakan sistem pendidikan yang berasaskan bidang teknologi maritim.

Graduan berkemahiran tinggi amat diperlukan oleh industri terutamanya dalam bidang rekabentuk dan pembangunan sistem perisian serta pengendali program kecerdasan buatan.

Justeru, untuk memenuhi keperlun industri 4.0 graduan perlu dipersiapkan menerusi sistem pendidikan tinggi dan latihan.

Terdahulu, Malaysia telah merangka elemen cabaran Industri 4.0 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.

Program akademik berkonsepkan 2u2i (dua tahun di universiti dan dua tahun dalam industri), 3u1i (tiga tahun di universiti dan satu tahun dalam industri) dan Kerja Berdasarkan Pembelajaran (WBL) adalah tindakan proaktif yang telah diambil universiti tempatan dalam merealisasikan pelan ini.

Justeru, untuk memastikan kesinambungan dalam pengembangan teknologi berasaskan Industri 4.0 dari sudut pendidikan dan latihan, hubungan erat universiti-industri-kerajaan perlu dijadikan teras utama.

Ini sekaligus dapat mencapai aspirasi pendidikan tinggi Negara untuk melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.



* Dr. Izyan Munirah Mohd Zaideen adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.