Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan mengesahkan sedang menyiasat beberapa kes berprofil tinggi melibatkan penjawat awam serta individu yang penting dan berpengaruh di negeri ini.

Siasatan melibatkan penyelewengan bernilai jutaan ringgit.

Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Moh Samsudin Yusuf memaklumkan, ia melibatkan lebih daripada tiga kes yang menjejaskan hasil kerajaan.

"Lebih daripada tiga kes yang kita sedang menjalankan penyiasatan peringkat awal dan ia berprofil tinggi," kata Moh semasa ditemui pada majlis Hari Anti Rasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke IV di sini, hari ini.

Tambahnya, antara kesalahan rasuah yang paling tinggi di negeri ini ialah membuat tuntutan palsu dan pemalsuan dokumen melibatkan projek pembangunan.