Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata India mahu Malaysia berada di barisan hadapan dalam menangani ancaman keganasan dan radikal kumpulan militan Daish di peringkat global.

Beliau berkata ini dinyatakan dalam pertemuan tertutup antara beliau dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi di residensi rasmi Modi di sini pada Selasa.

"India mengiktiraf kejayaan Malaysia menerusi konsep kesederhanaan yang diinisiatifkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memerangi keganasan seperti yang diamalkan di Malaysia.

"Malah India mahu Malaysia mengemukakan polisi dan kaedah ini bukan sahaja di wilayah Asean tetapi juga semasa Sidang Kemuncak Asean dengan rakan dialog Asean dan di peringkat antarabangsa," katanya.

Bercakap kepada media Malaysia selepas pertemuan 45 minit dengan Modi, Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata India turut memuji langkah proaktif dan serius yang diambil Malaysia dalam menangani ancaman keganasan.

Beliau berkata India juga mahu mempelajari undang-undang antikeganasan yang diamalkan di Malaysia termasuk bagaimana menghukum pengganas atau militan dengan menggunakan mekanisme yang betul dan sesuai.

Oleh itu, beliau berkata pegawai agensi penguat kuasa India yang terlibat dalam mengekang keganasan dan radikal akan dihantar ke Malaysia bagi latihan selama tiga bulan.

"Dalam hubungan ini, India telah menerima jemputan kita. Persoalan bila ini akan bermula, terpulang kepada mereka kerana polis kita dan Jabatan Penjara bersedia untuk membantu dan menerima mereka," kata beliau.

Sementara itu beliau berkata Modi turut menyentuh mengenai keperluan untuk menerima amalan sistem pendidikan sekolah agama dan madrasah di Malaysia kerana India mempunyai kira-kira 200 juta orang Islam ketika ini.

"Saya diberitahu India menghadapi masalah dalam isu pendidikan dan mahu belajar daripada Malaysia mengenai pengurusan pendidikan dan ajaran Islam tanpa berkompromi dan mengabaikan aspek akademik," katanya.