Kampung Santubong yang terletak kira-kira 42km dari bandar raya Kuching, sebelum ini tidak pernah dikenali dan kebanyakan penduduknya pula hanya bekerja sebagai nelayan.

Namun kini kampung yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai itu terkenal bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Sarawak dan Semenanjung, malah ia menjadi destinasi wajib pelancong luar negara setiap kali berkunjung ke negeri ini.

Hal ini berlaku sejak beberapa penduduk menyertai program inap desa di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada 2008.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata Inap Desa Santubong mencatatkan prestasi pendapatan memberangsangkan pada 2015 dengan rekod pulangan sebanyak RM314,235.

"Seramai 1,081 pengunjung telah datang ke Inap Desa Santubong terdiri daripada 937 pelancong domestik dan 144 pelancong antarabangsa," katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Inap Desa Santubong, di sini pada Ahad.

Inap Desa Santubong yang diuruskan 23 pengusaha, telah mengharumkan nama negara apabila menerima Anugerah 'ASEAN Homestay Standard' sempena Forum Pelancongan ASEAN 2016 pada Januari lepas di Manila, Filipina, katanya.

Nazri berkata selain menjadi sumber pendapatan penduduk kampung menerusi 23 buah inap desa di Kampung Santubong, kemudahan itu turut menyumbangkan kepada pencapaian sasaran kedatangan 30.5 juta pelancong, dan hasil sebanyak RM103 bilion kepada ekonomi negara.

Di Sarawak, katanya 35 buah inap desa telah berdaftar dengan kementerian berkenaan.

Sementara itu, penyelaras Inap Desa Kampung Santubong, Jamilah Shukri berkata sejak diberi pengiktirafan oleh kerajaan dan pelbagai pihak, inap desa di kampungnya semakin mendapat perhatian ramai dan kehidupan penduduk yang menyertai program inap desa itu semakin bertambah baik.

Berlatarbelakangkan Gunung Santubong dan kedudukannya terletak di muara Sungai Sarawak, pelancong yang datang ke inap desa Kampung Santubong boleh menikmati keindahan alam dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan seperti melihat ikan lumba-lumba, memancing dan mendaki gunung.

Persembahan adat dan kebudayaan penduduk kampung yang kebanyakannya bangsa Melayu turut dipersembahkan seperti pertunjukan pakaian pengantin tradisional dan Tarian Puteri Santubong.

Terdahulu, Nazri bersama calon BN bagi kerusi Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi mengadakan tinjauan ke Esplanade Kampung Buntal yang juga merupakan salah satu produk pelancongan di Santubong.

Pembinaan tempat riadah itu dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara dengan peruntukan kerajaan persekutuan berjumlah RM4.3 juta.

Mula dibuka pada 2013, Esplanade Kampung Buntal diuruskan sendiri oleh penduduk Kampung Buntal.

"Saya cadangkan nanti supaya diwujudkan jeti terapung untuk membawa pelancong menaiki bot melihat keindahan alam semula jadi di sekeliling kawasan seperti ke Taman Negara Bako dan melihat ikan lumba-lumba serta buaya," kata Nazri.

Beliau berkata ia bukan sahaja menarik kedatangan pelancong, malahan memacu ekonomi penduduk kerana mereka akan berpeluang menjalankan pelbagai jenis perniagaan termasuk membuka restoran dan perkhidmatan bot.