SANDAKAN: Seramai 117 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia Sabah (JIM) Sabah dalam Operasi Bersepadu di kawasan setinggan Mangkalinau Batu 3 Sandakan pada Sabtu.

Dalam operasi jam 1.10 pagi itu, seramai 680 warga asing diperiksa dan didapati 117 PATI melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, operasi itu digerakkan oleh 213 pegawai dan anggota Imigresen serta beberapa agensi penguat kuasa yang lain.

"Daripada jumlah PATI yang ditahan, 115 adalah warga Filipina manakala dua lagi warga Indonesia dan semuanya ditahan disyaki tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kesemua PATI itu kini ditempatkan di Depot Imigresen Sandakan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, operasi itu diadakan bagi mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap penempatan haram PATI di Sabah.

"Pada masa sama JIM Sabah juga akan melaksanakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana orang atau individu tertentu yang didapati menjadi dalang di sebalik kehadiran dan penempatan PATI di lokasi sasaran.

"JIM Sabah juga menggesa orang ramai untuk terus memberikan sokongan kepada agensi penguat kuasa untuk membanteras kehadiran dan penempatan haram PATI di negeri ini khususnya di Sandakan," katanya.

Berita asal: Imigresen gempur setinggan di Sandakan