Polis telah mengesahkan identiti mayat seorang lelaki yang ditemui di bawah sebuah jambatan di Kilometer 8, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Ahad lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superitendan Jamalani Mohd Isa, mayat tersebut dikenali sebagai Joevani Ahmed dan berusia 41 tahun.

Menurutnya, isteri mangsa telah mengesahkan itu adalah mayat suaminya menerusi proses pengecaman di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

"Kami (polis) telah menghubungi bapa dan isteri mangsa. Menerusi proses pengecaman hasilnya positif dan isteri mangsa mengecam mangsa adalah suaminnya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada petang Rabu.

Sementara itu, Jamalani memberitahu siasatan lanjut terhadap identiti mangsa mendapati lelaki tersebut mempunyai rekod jenayah lampau.

Tambahnya lagi, rekod lampau menunjukkan mangsa pernah terlibat dengan kes penipuan melibatkan wang ringgit.

"Kita tidak menolak kemungkinan kes ini ada hubung kait dengan penipuan yang pernah dilakukan mangsa. Namun, siasatan masih diteruskan.

"Ketika ini, kita belum mengenalpasti mana-mana suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan ini," katanya.

Semalam, Astro AWANI melaporkan beberapa jurugambar terjumpa mayat seorang lelaki di bawah sebuah jambatan di JRTB, Ahad lepas.

Mayat itu ditemui dalam keadaan tertiarap dengan hanya memakai seluar panjang dan bertali pinggang, tidak berbaju serta terdapat pita pelekat pada kaki dan pergelangan tangannya.

Polis masih meneruskan siasatan berhubung kes tersebut dan ia disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.