Salah satu tajuk utama minggu lalu termasuk kemangkatan Yang Amat Mulia Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar ibni Sultan Ibrahim Ismail yang dikenali sebagai seorang yang penyayang dan berjiwa rakyat.

Antara tajuk-tajuk lain pula adalah punca nahas pesawat AirAsia di Indonesia dan kemenangan ke-10 ratu skuasy negara, Datuk Nicol David.



AHAD, 6 Disember :

10 fakta berkenaan putera kesayangan Johor, Almarhum Tunku Jalil

Perginya putera kesayangan rakyat Johor, Yang Amat Mulia Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar ibni Sultan Ibrahim Ismail.
PERGINYA putera kesayangan rakyat Johor, Yang Amat Mulia Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar ibni Sultan Ibrahim Ismail pada Sabtu.

Baginda yang diputerakan pada 5 Julai 1990, merupakan anakanda keempat kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail.

Nicol rangkul kejuaraan berturut-turut ke-10 di Terbuka Hong Kong


Nicol, yang merupakan pilihan kedua kejohanan menewaskan Laura straight set 15-13, 11-9, dan 11-3 dalam masa 39 minit.
Ratu skuasy negara Datuk Nicol David mengekalkan kejuaraannya di Kejohanan Terbuka Hong Kong untuk kali 10 berturut-turut setelah menumpaskan pesaing rapat, Laura Massaro dari England di perlawanan akhir, pada Ahad.

Perlawanan itu merupakan perlawanan akhir ke-100 dalam Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) buat Nicol.

SABTU, 5 Disember:

Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim pulang ke Rahmatullah

Almarhum Tunku Abdul Jalil akan dikebumikan di Makam DiRaja Jalan Mahmoodiah.
Anakanda keempat Sultan Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibni Sultan Ibrahim Ismail mangkat pada jam 7.11 malam Sabtu di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

Tunku Abdul Jalil mangkat pada usia 25 tahun akibat kanser hati.

Penamatan perkhidmatan jururawat kerana masalah disiplin, bukan sebab tutup aurat

Penamatan perkhidmatan seorang jururawat dari sebuah hospital mendapat perhatian meluas pihak media Jumaat.
Penamatan perkhidmatan seorang jururawat dari sebuah hospital swasta yang dilaporkan dengan meluas di media semalam adalah disebabkan oleh masalah disiplin dan bukannya sebab tatacara pemakaian.

Perkara ini dimaklumkan oleh Pengurus Kewangan dan Pentadbiran Hospital Damai Service (Melawati), Regina Sundram dengan memberi penjelasan kepada insiden yang berlaku kepada Naziah Sauni Samat, 24.

JUMAAT, 4 Disember :

Waris Sosilawati puas hati keputusan mahkamah


Kesemua waris Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Menurut anak sulungnya Erni Dekritawati Yuliana Buhari, keputusan itu menamatkan penantian selama lima tahun keluarganya dan menyifatkannya sebagai tidak sia-sia.

Rakyat naik angin bila tambang pengangkutan awam naik

Kerajaan seharusnya mempertimbangkan semula keperluan berkenaan untuk menaikkan caj tambang perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit.
Kerajaan seharusnya mempertimbangkan semula keperluan berkenaan untuk menaikkan caj tambang perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit yang benar-benar menekan kos sara hidup rakyat.

Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, amaran itu turut ditujukan kepada syarikat Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) yang seharusnya mengadakan perbincangan dengan semua pihak sebelum cadangan kenaikan itu diutarakan kepada Kerajaan sendiri.

KHAMIS, 3 Disember:

RUU Majlis Keselamatan Negara 2015 diluluskan Dewan Rakyat

Undian belah bahagi dijalankan menyaksikan 107 Ahli Parlimen bersetuju dan 74 lagi tidak bersetuju.
Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 diluluskan Dewan Rakyat selepas bacaan kali ketiga hari ini.

Perbahasan rang undang-undang itu bermula sekitar jam 4.30 petang tadi sebelum ia diluluskan sekitar jam 10.52 malam.

Undian belah bahagi yang dijalankan sebelum itu menyaksikan 107 Ahli Parlimen bersetuju dan 74 lagi menolak.

SPRM kenal pasti penderma RM2.6 bilion

Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan perkara tersebut di Dewan Rakyat menerusi Peraturan Mesyuarat 14 (1) (i), iaitu penjelasan oleh Menteri-menteri.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenalpasti individu yang menyumbang RM2.6 bilion sebagai dana politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan perkara tersebut di Dewan Rakyat menerusi Peraturan Mesyuarat 14 (1) (i), iaitu penjelasan oleh Menteri-menteri.

Malah, Zahid memaklumkan Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah dimaklumkan berkenaan pembukaan akaun bank tersebut.

RABU, 2 Disember :

Tambang ERL: Kerajaan akan bertemu SPAD untuk kaji semula caj

Kerajaan akan bertemu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) sebagai langkah mengkaji semula kenaikan caj tambang Express Rail Link Sdn Bhd (ERL).

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi berkata kenaikan caj tambang ERL tidak dapat dielakkan berikutan ia tertangguh hampir 14 tahun.

Tambang baharu ERL bagi perjalanan sehala dari KL Sentral ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ke KLIA2 ialah RM55, berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan, kenaikan pertama sejak pelancaran ERL pada 2002.

Dewan Rakyat lulus usul persempadanan semula bahagian pilihan raya Sarawak



Kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak kini menjadi 82 kerusi setelah Dewan Rakyat meluluskan Usul Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak 2015. Hasil dari undian menerusi belah bahagian, 130 Ahli Parlimen menyokong manakala 72 menentang.

SELASA, 1 Disember:

Kerosakan sistem kemudi jadi faktor utama nahas AirAsia Indonesia: Siasatan

Rakaman pada Januari 2015 menunjukkan bahagian pesawat sebelum dikeluarkan dari lokasi ia terhempas di Laut Jawa.
Kerosakan pada sistem kawalan kemudi dikenal pasti sebagai faktor besar yang menyebabkan pesawat AirAsia terhempas ke Laut Jawa hingga mengorbankan seramai 162 orang.

Dalam penemuan terbaharu oleh pasukan penyiasat Indonesia itu, masalah yang berulang pada sistem tersebut membuatkan juruterbang bertukar kepada kawalan manual ketika berdepan cuaca buruk.

Prosiding PAC-1MDB: 'Kami telah jawab dengan sebaik mungkin' - Arul Kanda

Arul tiba kira-kira pukul 10.23 pagi tadi di bangunan Parlimen sebelum sesi memberi keterangan di hadapan PAC yang bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy selepas memberi keterangan bagi kali pertama di hadapan panel Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengakui telah menjawab soalan-soalan yang diajukan panel tersebut dengan baik.

Arul juga menegaskan akan memberi penjelasan lebih lanjut di hadapan (PAC) pada prosiding kali kedua yang dijadual pada 18 Disember.

ISNIN, 30 November:

Pelakon dan pelawak Yus Jambu meninggal dunia

Pelakon dan pelawak, Yussry Edoo atau lebih dikenali sebagai Yus Jambu, 39, meninggal dunia pada Isnin dipercayai akibat serangan jantung.

Difahamkan, Yus menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam kenderaan kira-kira jam 12.45 tengah malam.

Rizalman mengaku bersalah atas tuduhan serangan seksual di New Zealand


Muhammad Rizalman ketika di mahkamah di New Zealand.
Bekas atase tentera Malaysian di Wellington, Muhammad Rizalman Ismail, 38, yang diekstradisi ke New Zealand, mengaku bersalah melakukan serangan seksual dan berdepan dengan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atas tuduhannya.

Menurut ringkasan polis, ketika kejadian pada Mei 2014 itu, mangsa, Tania Billingsley, 21, sedang menonton filem di dalam bilik tidurnya ketika Muhammad Rizalman memasuki rumah yang tidak berkunci itu dengan hanya memakai baju sahaja.