GEORGE TOWN: Unit Rawatan Rapi Lapangan (Field ICU) di Hospital Kepala Batas yang sedang dibangunkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberikan tambahan 27 katil ICU di Pulau Pinang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata mesyuarat melibatkan pelbagai agensi yang berkaitan sudah diadakan dan mereka kini sedang melihat keperluan untuk hospital itu.

"Kita sedang meneliti dan melihat keperluan termasuk bekalan elektrik, bekalan mekanikal dan peralatan perubatan. Bajet sejumlah RM2.038 juta telah dikenal pasti untuk pembinaan Field ICU ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Chow berkata beliau telah dimaklumkan bahawa ICU lapangan ini akan siap dan beroperasi dalam masa terdekat.

BACA: 'Field ICU' di HKB: Kerajaan Pulau Pinang sedia kerjasama dengan KKM 

Ahad lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan 'Field ICU' yang dikhaskan bagi merawat pesakit kritikal berikutan faktor peningkatan kadar penggunaan katil ICU COVID-19 di hospital-hospital Pulau Pinang yang telah mencecah lebih daripada 100 peratus.

Menurut Dr Noor Hisham, Field ICU yang bakal didirikan di Hospital Kepala Batas akan menggunakan konsep modular yang mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal COVID-19 yang memerlukan bantuan pernafasan serta peralatan 'life support' lain.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr Asmayani Khalib ketika dihubungi berkata satu mesyuarat telah diadakan di Hospital Kepala Batas pada Isnin mengenai pembinaan 'Field ICU'.

Katanya, Pulau Pinang sangat memerlukan 'Field ICU' selepas penggunaan katil ICU di hospital-hospital mencapai 100 peratus pada 11 Mei lepas.

"Pasukan kami sedang bertungkus lumus untuk menyiapkan 'Field ICU' seberapa segera yang boleh," katanya.

-- BERNAMA