Seorang surirumah maut manakala anaknya cedera parah selepas terhumban ke jalan apabila motosikal yang dinaiki merempuh kenderaan pelbagai guna jenis Naza.

Kemalangan berlaku di simpang Lorong Gong Kuing Dua, berhampiran padang golf Tok Jembal, Kuala Nerus kira-kira jam 7 petang Isnin.

Wan Husna Wan Ahmad yang berusia 53 tahun dari Taman Dalya, Jalan Terukur, Kuala Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Manakala anaknya, Wan Anis Nadzirah Wan Yunus, 21 tahun yang baru menamatkan pengajian di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, patah tulang peha dan mengalami keretakan pinggul.

Wan Husna Wan Ahmad yang berusia 53 tahun dari Taman Dalya, Jalan Terukur, Kuala Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Kemalangan itu berlaku ketika motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang Wan Anis Nadzirah dan dibonceng ibunya dalam perjalanan dari arah Universiti Malaysia Terengganu menghala ke Gong Badak.

Bagaimanapun sebuah kenderaan pelbagai guna keluar dari simpang di laluan terbabit.

Motosikal berkenaan kemudiannya melanggar bahagian sisi kenderaan terbabit mengakibatkan mangsa terhumban beberapa meter.

Jenazah Wan Husna dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat, manakala anaknya, Wan Anis Nadzirah dirawat di hospital yang sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.