Rohani Hassan, 40 berkata beliau yang dilahirkan di Sabah, diserahkan sebagai anak angkat kepada Hassan Yaacob dan Nik Kamariah Nik Ismail ketika usianya sebulan sebelum dibawa ke Kelantan ketika berusia dua tahun.
Katanya, ibu beliau bernama Lim Jid De berketurunan Cina manakala bapa berketurunan Kadazan dan mereka mempunyai empat anak termasuk beliau.
"Saya percaya mereka masih ada tetapi saya tidak yakin di mana mereka berada...saya mahu mengenali dan kembali menjadi satu keluarga kerana kami tidak pernah melalui saat indah bersama keluarga sejak 40 tahun lalu," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.
Antara gambar yang menjadi kenangan Rohani Hassan bersama ibu dan adik beradiknya yang terpisah selama 40 tahun
Rohani yang kini tinggal di Taman Restu Tiga, Telipot di sini, berkata beliau hanya mengetahui statusnya sebagai anak angkat ketika berusia 13 tahun.
"Ayah serahkan dua keping gambar bersama dua keping nota bertulisan Cina dan disebabkan saya tidak tahu bahasa Cina, saya minta rakan terjemahkan. Dalam surat itu, ibu memberitahu dia tidak mahu menyerahkan anak-anaknya kepada orang lain.
"Namun disebabkan kesempitan hidup, dia terpaksa menyerahkan kami kepada orang lain dan akan meninggalkan Sabah serta kembali ke China," kata ibu kepada Ahmad Hirzan Aiman Razlan, 17, dan Ahmad Hazrin Asyram, 14 itu.
Katanya keinginan untuk bertemu keluarga kandung semakin membara dan berharap mereka yang mengenali atau mengetahui kisahnya boleh menghubunginya di talian 012-9225671.