Itu jawapan ringkas peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris yang baru dilantik mewakili ibu bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari serta Ismanira Abdul Manaf bagi menggantikan peguam terdahulu, Fahmi Abd Moin.
Haresh memaklumkan, beliau baru meneliti beberapa dokumen hari ini setelah mendapat arahan daripada anak guamnya pada Khamis.
"Hari ini kami baru teliti dokumen dan pihak kami juga telah mohon kepada Timbalan Pendakwa Raya, terdapat dua cakera padat yang belum dikemukakan dan juga satu laporan forensik berkaitan dengan sampel diambil daripada arwah, itu pun pihak pendakwa belum kemuka jadi kita nantikan," ujarnya dalam sidang media ringkas pada Jumaat.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemuka ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin untuk menyemak dan menarik balik tuduhan mengabaikan anak.
Keputusan dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Syahliza Warnoh pada Jumaat.
"Representasi sudah ditaklimatkan di AGC, representasi ditolak. Pihak pendakwaan memohon satu tarikh bagi serahan dokumen termasuk laporan forensik serta dua cakera padat berkaitan kes ini sebelum perbicaraan dimulakan," kata Raja Zaizul.
Mendengar perkara itu, peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris akan meneruskan untuk pemeriksaan balas saksi pendakwaan pertama.
Bagaimanapun, Haresh meminta penangguhan tarikh hari pertama perbicaraan kes yang ditetapkan pada 21 hingga 24 Januari ini kerana terdapat kes sambung bicara untuk tertuduh lain di Negeri Sembilan.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Januari depan bagi serahan dokumen berkaitan manakala tarikh tambahan perbicaraan pada 10 hingga 14 Mac 2025.
Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira dituduh mengabaikan kanak-kanak autisme itu di Apartment Idaman, Damansara Damai antara 5 hingga 6 Disember 2023 mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan dirI.