Tindakan menghukum seperti menjatuhkan hukuman sebat dikhalayak ramai tanpa melalui proses dan kefahaman yang betul serta tanpa belas kasihan adalah sesuatu yang tidak diterima rakyat Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun Anwar berkata, perkara tersebut perlu ditangani dengan berhati-hati kerana akan timbul tuduhan bahawa mereka yang tidak bersetuju dengan hukuman sebat terhadap pesalah syariah sebagai anti-Islam.

"Jika anda cuai dalam memberi kenyataan dalam perkara ini, anda akan dilabel sebagai anti undang-undang syariah, anda dilabel sebagai sekular dan sebagainya.

"Jika perkara ini berlaku akan timbul pergeseran lain dalam kalangan masyarakat Islam," katanya dalam satu sidang media di Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Filipina 2018 di Makati City hari ini.

Anwar berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan menjatuhkan hukuman sebat itu kerana ia merupakan satu bentuk penindasan.

"Jika timbul isu berkaitan kesalahan sedemikian perlu ada satu bentuk penjelasan yang mencukupi, pendedahan atau pendidikan kepada masyarakat," katanya.



Pada Isnin, dua wanita masing berusia 32 dan 22 tahun dijatuhkan hukuman sebat enam kali hari ini kerana cuba melakukan hubungan seks sesama jenis di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Squre, Dungun, pada jam 1.50 tengah hari, 8 April lalu.

Selain itu kedua-duanya turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) Enakmen yang sama kerana musahaqah.

Kedua-dua tertuduh diberi peluang untuk membuat rayuan ke atas hukuman sebat itu dalam tempoh 14 hari namun tidak berbuat demikian sehinggalah tempoh tamat.