PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan 16 sebatan ke atas seorang bekas pemandu teksi kerana merogol serta mengugut seorang pelancong wanita warga Indonesia menggunakan pemutar skru di sebuah hotel, lima tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan akhir Abdul Ghani Abdul Karim, 48, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

"Mahkamah mendapati sabitan dan hukuman yang dijatuhkan mahkamah sebelum ini adalah selamat. Tiada sebab untuk mahkamah ini mengganggu dapatan mahkamah terdahulu (Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi ) berhubung sabitan dan hukuman tersebut.

"Oleh itu, hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen sebelum ini dikekalkan bagi kedua-dua pertuduhan tersebut," katanya yang bersidang bersama-sama Datuk Supang Lian dan Datuk Ahmad Nasfy Yasin.

Pada 23 Julai 2020, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 16 sebatan bagi pertuduhan merogol serta tujuh tahun bagi kesalahan mengugut dan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum.

Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 20 Mei 2021.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal@Zainol berhujah Abdul Ghani bukan pesalah kali pertama kerana pernah dijatuhi hukuman penjara dan sebatan atas kesalahan sama.

"Perayu telah keluar dari penjara pada 20 Okt 2015 dan kejadian ini berlaku lebih kurang tiga tahun selepas dia keluar penjara. Oleh itu, hukuman penjara 20 tahun dan 16 sebatan adalah hukuman bersesuaian untuk perayu," katanya.

Peguam Muhamad Izwan Ishak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan pula memohon hukuman Abdul Ghani dikurangkan atas alasan perayu mempunyai seorang ibu yang uzur.

Mengikut pertuduhan pertama, Abdul Ghani didakwa merogol mangsa yang berumur 29 tahun 11 bulan (ketika kejadian) di bilik sebuah hotel di Taman Seputeh, Brickfields di sini antara 1.30 pagi hingga 2 pagi pada 24 Dis 2018 mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara hingga 30 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh mengugut akan menyebabkan kematian mangsa dengan pemutar skru di tempat, pada masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

-- BERNAMA