SHAH ALAM: Pihak yang terlibat dengan pembuangan sampah secara haram di Selangor bakal dikenakan denda sehingga RM100,000 dan penjara minimum lima tahun selepas Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dikuatkuasakan.

Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Selangor Datuk Ng Suee Lim berkata kerajaan negeri dan Persekutuan kini di peringkat rundingan untuk meratifikasi akta tersebut bagi memastikan prosedur pengurusan sisa pembuangan sampah yang lebih baik.

"Akta 672, kalau kita berjaya meratifikasi akta tersebut, kita akan gunakan undang-undang yang ada di dalam akta tersebut untuk melaksanakan penguatkuasaan dan hukuman sehingga RM100,000 dan penjara tidak kurang lima tahun.

"Itu membantu kita tangani kes pembuangan sampah secara haram melalui penguatkuasaan selepas pemakaian Akta 672 tidak lama lagi," katanya pada sesi penggulungan perbahasan menjunjung kasih Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Ng berkata ini akan turut menambah baik peruntukan sedia ada seperti Undang-Undang Kecil Pungutan, Pembuangan Sampah dan Pelupusan Sampah Sarap 2007 di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata Kerajaan Selangor akan memuktamadkan keputusan mengguna pakai Akta 672, yang dijangka dilakukan awal tahun ini, sekali gus mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal ditanggung pentadbirannya menerusi KDEB Waste Management (KDEBWM).

-- BERNAMA