Susulan penyebaran video dan gambar seorang lelaki mengerjakan tawaf menggunakan skuter Segway, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad menjelaskan hukumnya adalah harus.

Melalui laman Facebook, beliau memperincikan status tawaf berkenaan melalui beberapa hadis. Antara hadis yang dipetik adalah daripada Jabir R.A yang menyebut:

"Nabi SAW telah tawaf di atas tunggangan di Ka’abah, sa’i di antara Safa dan Marwah, orang ramai melihatnya dan Baginda dapat menyelia untuk mereka bertanya kepada Baginda, maka sesungguhnya orang ramai mengerumuni Baginda."

Tawaf
Keratan penjelasan Dr.Zulkifli di Facebook.

Beliau turut menjelaskan tiga pendapat ulama yang berbeza berhubung isu seperti ini, namun pendapat ketiga berlandaskan pendapat Abu Bakar, mazhab Syaf’ie dan Ibn al-Munzir diterima kerana ia berdasarkan nas yang sahih dan jelas.

Pendapat ketiga mengatakan tiada dam patut dikenakan dan tawaf adalah sah, dengan alasan Nabi Muhammad SAW pernah tawaf dalam keadaan menunggang.

Namun beliau menegaskan, terdapat beberapa perkara yang tetap perlu diberi perhatian oleh umat Islam, antaranya tawaf dengan cara biasa adalah jauh lebih baik dan penggunaan alat tersebut tidak menganggu jemaah yang lain.

Tawaf merupakan salah satu rukun dalam ibadat Haji dan Umrah, dan dilakukan dengan cara mengelilingi Ka'abah sebanyak tujuh kali.

Video kredit laman Youtube Arab News.