Hujan renyai pagi tadi tidak menghalang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad daripada beriadah menunggang kuda di Pusat Ekuin Universiti Putra Malaysia, di sini.

Menerusi video yang dimuat naik di laman Youtube rasminya Chedet Official, Dr Mahathir meluangkan masa selama satu jam melakukan aktiviti kegemarannya di kawasan berkenaan.

"Berkuda juga merupakan satu terapi buat saya," menurut ciapan ringkas di laman Twitter @chedetofficial.

Dalam paparan video berdurasi hampir dua minit itu, Dr Mahathir, yang sudah lama tidak melakukan aktiviti berkuda kerana kekangan masa. dilihat memakai topeng muka ekoran jerebu yang melanda kawasan sekitar,

Negarawan itu turut kelihatan memberi makan kepada kuda yang ditunggangnya. - BERNAMA