HANGZHOU: Hubungan diplomatik Malaysia dan China kini berada pada tahap matang sehingga mampu menghadapi sebarang isu dan cabaran yang mungkin timbul antara kedua-dua negara.


Ringkasan AI
  • Hubungan diplomatik Malaysia dan China kini matang, membolehkan kedua-dua negara menangani isu dan cabaran bersama dengan baik setelah 50 tahun terjalin.
  • Delegasi media Malaysia mengadakan lawatan ke China untuk memahami budaya, teknologi, dan media, serta berpeluang berinteraksi dengan pelajar Malaysia dan China di universiti.
  • Pertumbuhan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan China terus meningkat, dengan Malaysia sebagai rakan dagang utama China dan China sebagai pelabur ketiga terbesar di Malaysia.


Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) Datuk Abdul Majid Ahmad Khan, berkata tahap kematangan yang terhasil daripada hubungan diplomatik 50 tahun itu semakin berkembang dan menjadikan kedua-dua negara dapat menyelesaikan perkara berbangkit secara bersama.

"Kita mesti melihat hubungan Malaysia dan China secara keseluruhan. Memang, dalam perjalanan hubungan antara kedua negara, tidaklah selalu sempurna. Oleh itu, pada satu ketika, kedua-dua negara perlu diuruskan dengan baik. Saya percaya bahawa tahap persahabatan dan hubungan Malaysia dan China telah mencapai satu peringkat yang matang dan tinggi.

"Kedua-dua negara juga telah memberi komitmen untuk terus bersahabat kerana China merupakan satu jiran yang dekat dan dalam pembangunannya telah menguntungkan Malaysia," katanya kepada pemberita pada program Lawatan Delegasi Media Malaysia ke China bersempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, di sini, baru-baru ini.

Lawatan anjuran PPMC itu adalah sebahagian program pertukaran rakyat antara dua negara bagi memahami dan mengenali budaya, bahasa, teknologi dan peranan media masing-masing.

Lawatan yang diketuai Abdul Majid dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai itu turut disertai wakil media daripada Astro AWANI, The Star, Berita Harian, Sinar Harian dan Sin Chew Jit Poh.

Menerusi lawatan itu, wakil media dibawa merasai pengalaman selama tiga hari di Beijing antara lain bertemu Pengarah Biro Komunikasi Antarabangsa Jabatan Propaganda Jawatankuasa Pusat PKC, Chen Dawei dan Timbalan Pengarah Jabatan Informasi Kementerian Luar Negeri China, Hu Jian.

Pertemuan ini memberi peluang kepada delegasi media mengetahui perkembangan terkini hubungan diplomatik, polisi semasa serta perkembangan terkini sektor ekonomi dan komunikasi China.

Delegasi seramai 11 orang itu juga berkesempatan bertemu dengan Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad serta para pegawai kedutaan di Pejabat Kedutaan Malaysia di Beijing.

Dalam lawatan itu, wakil media turut melawat organisasi media iaitu People's Daily dan China Media Group (CMG) untuk melihat sendiri pengoperasian serta bertukar pandangan mengenai amalan kewartawanan dan teknologi penyiaran terkini.

Ketika lawatan, Wong berkata media China menyuarakan hasrat untuk meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam bidang kewartawanan.

Ini termasuklah kerjasama semasa lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia pada tahun depan bersempena penganjuran ASEAN yang dipengerusikan oleh Malaysia.

Hari terakhir di Beijing, peserta lawatan mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia yang menuntut di Beijing Jiaotong University.

Dalam pertemuan ini, wakil media berpeluang mendengar pengalaman dan pandangan pelajar Malaysia mengenai kehidupan dan pembelajaran mereka di China termasuk cabaran yang dihadapi serta kejayaan yang telah dicapai sepanjang berada di China, memberikan gambaran yang lebih jelas tentang proses pembelajaran mereka dalam konteks antarabangsa.

Selain itu, wakil media juga berkesempatan berinteraksi dengan pelajar China yang mengambil kursus Pengajian Bahasa Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU).

Pertukaran pendapat dengan kedua-dua kumpulan pelajar ini bukan sahaja memperkaya pengalaman mereka tetapi juga memperkukuh hubungan antara rakyat Malaysia dan China.

Delegasi Malaysia turut dibawa ke Hangzhou bagi mengikuti beberapa program termasuk lawatan budaya di West Lake yang merupakan tapak warisan dunia UNESCO selain Muzium Mutiara Air Tawar dan Bandar Barang Kemas (Jewelry City).

Lawatan tersebut diakhiri dengan pertemuan bersama wakil Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd dan Proton di ibu pejabat Geely Holding di sini.

Sementara itu, Abdul Majid berkata bahawa hasil daripada beberapa kunjungan dan pertemuan sepanjang lawatan itu berjaya membuka lembaran baharu dalam usaha mengukuhkan hubungan Malaysia-China untuk 50 tahun akan datang.

Menurutnya, hubungan akrab antara kedua-dua negara akan terus terjalin dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk mempelajari teknologi serta kepakaran dalam pelbagai bidang daripada China.

"Boleh dikatakan bahawa hubungan Malaysia-China telah mencapai kemuncaknya pada tahun 2024, terutamanya dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, dan juga pelancongan. Saya juga boleh katakan bahawa dalam bidang pendidikan, tahun ini kita telah menerima bilangan tertinggi kemasukan pelajar dari China ke beberapa universiti di Malaysia.

"Peningkatan perdagangan antara Malaysia dan China telah berlanjutan selama 15 tahun. Malaysia merupakan rakan dagang pertama China, dan China pula telah menjadi pelabur asing ketiga terbesar di Malaysia. Oleh itu, ini merupakan satu dinamik yang perlu kita pelihara," katanya.

Selain itu katanya, kerancakan China dalam meneroka bidang teknologi, terutama dalam kecerdasan buatan (AI) dan kenderaan elektrik (EV), dijangka dapat memberi manfaat kepada Malaysia.