BEIJING: Malaysia dan China mahu memanfaatkan ulang tahun ke-10 penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) tahun ini serta ulang tahun ke-50 jalinan hubungan diplomatik pada tahun depan untuk membawa hubungan dua hala sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.

Ini termasuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor yang memberi manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara serta menyumbang ke arah keamanan dan keselamatan di peringkat serantau dan global.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan di sini berkata komitmen itu dipersetujui semasa pertemuan antara Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan rakan sejawatannya dari China, Qin Gang di pejabatnya di sini pada petang Selasa.

Pertemuan itu yang berlangsung sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China minggu ini, juga merupakan pertemuan pertama secara bersemuka antara kedua-dua Menteri Luar.

Menurut kenyataan itu, Qin menyifatkan lawatan sulung Anwar ke China sebagai "sangat penting" yang membuktikan hubungan rapat antara kedua-dua negara memandangkan perdana menteri merupakan antara pemimpin pertama yang melawat Beijing selepas pemilihan semula Presiden Xi Jinping sebagai Presiden China untuk penggal ketiga dan pemilihan Perdana Menteri Li Qiang, awal bulan ini.

Kedua-dua menteri juga mengiktiraf persamaan mendalam antara konsep Malaysia MADANI Anwar dan visi Xi Jinping tentang "Komuniti Masa Depan Bersama untuk Umat Manusia". Mereka juga menegaskan mengenai pentingnya mengambil langkah konkrit untuk memanfaatkan kedua-dua konsep itu.

Semasa mesyuarat itu, mereka juga membincangkan projek dan inisiatif tertentu dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pertanian yang akan membawa manfaat yang besar kepada rakyat kedua-dua negara.

Mereka turut membincangkan isu keselamatan strategik serantau dan global.

-- BERNAMA