KUALA LUMPUR: Polis menyerbu sebuah hotel terbiar yang terkenal dengan aktiviti pelacuran dan menahan 10 wanita warga asing dalam Op Noda di ibu kota, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kesemua wanita berkenaan ditahan di bilik masing-masing di tingkat enam hingga 11 hotel berkenaan dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Beliau berkata serbuan pada 11.45 malam itu mendapati pelacur di hotel berkenaan mengubah taktik mencari pelanggan dengan hanya menunggu di bilik masing-masing dan tidak lagi di kedai makan di tingkat bawah premis berkenaan berikutan beberapa serbuan polis sebelum ini.

"Pemeriksaan terhadap bilik wanita berkenaan menemukan pelbagai barangan dipercayai digunakan dalam aktiviti persundalan dan siasatan mendapati mereka menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran RM100 kepada lelaki warga asing dan pelanggan tetap, bermula 10 malam hingga 4 pagi.

"Wanita berkenaan disyaki masuk ke negara ini sebagai pelancong serta menjalankan kegiatan pelacuran secara bebas tanpa dikawal mana-mana penjaga," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rusdi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA