BERA: Penantian penduduk Bera menunggu sebuah hospital akhirnya tercapai apabila sebuah hospital baharu dijangka siap penghujung tahun ini.

Hospital yang berkapasiti 40 buah katil itu yang dibina dengan kos RM130 juta bakal menempatkan 480 kakitangan, akan memberi perkhidmatan kepada 150,000 penduduk Bera.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, jika selama ini penduduk di Bera terpaksa ke Temerloh atau ke Kuala Pilah, namun pada tahun hadapan mereka tidak perlu lagi keluar daerah bagi mendapatkan perkhidmatan perubatan.

“Saya harap seperti yang dijanjikan akan siap sebelum akhir tahun ini jadi tidak ada lagi isu kelewatan.

“Selama ini warga Bera kalau nak ke hospital terpaksa ke Temerloh, yang bersempadan dengan Negeri Sembilan terpaksa ke Kuala Pilah jadi kita terpaksa ke tempat lain. Maka hospital di Bera ini amat penting sebab Bera ini luas,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas melawat tapak pembinaan hospital tersebut yang masih dalam pembinaan semasa lawatan kerjanya di sini hari ini.

Tambah Ismail Sabri, Hospital Bera kini sudah siap 98 peratus dan bakal diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum diserahkan kepada Kementerian  Kesihatan Malaysia (KKM) Januari  2022.