KUALA LUMPUR: Pas menyeru agar semua pihak menghormati dan tidak cuba mengambil sudut pendekatan yang tidak wajar dengan mencabar aspek-aspek perundangan sedia ada yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri.

Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia adalah demi kebaikan kehidupan sosial, keharmonian agama dan budaya serta perpaduan negara.

“PAS bimbang sesuatu keputusan yang terpaksa dibuat oleh Badan Kehakiman atas desakan yang tidak wajar akan membawa kepada implikasi yang tidak bermanfaat kepada negara dan rakyat jelata,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sambil menyedari bahawa Malaysia merupakan negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, Takiyuddin berkata Pas akan turut berusaha agar undang-undang sivil dan undang-undang syariah dapat diharmonikan.

“Pas yakin berteraskan pengiktirafan Undang-undang Syariah termasuk oleh Mahkamah British di negara ini di zaman pra-Merdeka, prinsip undang-undang tersebut mampu mewujudkan suatu wajah baru dan dinamik kepada Sistem Perundangan Negara.

“Ini dapat dilihat dalam keputusan kes Ramah binti Ta’at vs. Laton binti Malim Sutan yang diputuskan pada tahun 1927 yang mengatakan “the Mohammedan law is not a foreign but local law, that it is the law of the land”.

“Begitu juga dalam kes Fatimah binti Harrris vs. Ismail Haji Tahir yang diputuskan dalam tahun
1939, Mahkamah British pada masa itu mengatakan “that Mohammedan law is a part of the law of Johore”,” ujarnya.

Pada 25 Februari lalu, barisan panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang seorang lelaki terhadap Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang berhubung kesalahan seks luar tabii.

Penghakiman antara lain menyebut seksyen tersebut belum secara sah digubal oleh badan perundangan negeri Selangor, selain perkara yang dibahas dalam seksyen tersebut hanya boleh digubal melalui Parlimen.