KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang didakwa menghina agama Islam, Siti Nuramira Abdullah, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di sini pagi ini.

Wanita tersebut, minta dibicarakan, selepas didakwa menyebabkan permusuhan dan kebencian di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Mengikut seksyen berkenaan, seseorang individu boleh didakwa jika cuba menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, kebencian permusuhan, niat jahat, atau menjejaskan keharmonian atau perpaduan, atas alasan agama.

Sekiranya disabitkan atas kesalahan tersebut, Siti Nuramira boleh dikenakan hukuman penjara minimum dua tahun, tetapi tidak melebihi lima tahun.

Sebelum ini, sebuah video berdurasi 54 saat tular di media sosial memaparkan Siti Nuramira dalam keadaan bertudung dan memakai baju kurung, mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk al-Quran.

Hina Agama | Siti Nuramira mengaku tidak bersalah


Sewaktu persembahannya, wanita tersebut menanggalkan pakaian yang menutup aurat itu dan hanya meninggalkan pakaian yang menjolok mata serta mengundang pelbagai komen netizen.

Dalam pada itu, Hakim Siti Aminah Ghazali memutuskan agar Siti Nuramira dikenakan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin, dan perlu melaporkan diri ke Balai Polis Brickfields sebulan sekali sepanjang perbicaraan.

Selain itu beliau memerintahkan Siti Nuramira untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain mengenakan larangan ke atas wanita tersebut untuk membuat sebarang komen mengenai kes tersebut.