Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya telah mengatur anggota bertugas untuk membuat kawalan lalu lintas.
"Petugas trafik akan ditempatkan di lokasi-lokasi tertentu untuk menjalankan pemantauan serta penguatkuasaan.
"Selain itu, anggota tambahan dari JSPT Kuala Lumpur turut dihantar untuk memberi bantuan di Putrajaya," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, penugasan anggota terlibat akan bermula pada tengah malam Ahad sehingga Isnin.
"Penugasan turut sama dibantu dengan kenderaan trak penunda daripada Perbadanan Putrajaya untuk tindakan melibatkan kenderaan yang menghalang lalu lintas.
"Lencongan dan penutupan jalan akan dibuat sekiranya dilihat ada keperluan untuk berbuat demikian," katanya.
Terdahulu, polis memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyertai himpunan Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan yang akan dilaksanakan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, orang ramai dilarang menyertai himpunan itu kerana ia tidak mendapat kebenaran pemilik tanah.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan penganjuran himpunan solidariti buat Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman di sini pada Isnin ditolak pihak polis.
Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya ada menerima permohonan penganjuran tersebut pada 31 Disember lalu, namun ia terpaksa ditolak selepas semakan dilakukan mendapati permohonan berkenaan tidak lengkap.
Jelas beliau, penolakan permohonan telah diberitahu kepada pihak penganjur Jumaat lalu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Mahkamah Rayuan menetapkan Isnin sebagai mendengar rayuan bekas Perdana Menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum. - Sinar Harian