Dianggarkan lebih 8,000 hadir dalam Himpunan Munajat 100k bagi mengutuk kekejaman rejim di Mesir selain mendoakan kesejahteraan rakyat negara itu di Padang Merbok di ibu negara petang tadi.

Pada asalnya perhimpunan itu hendak diadakan di Dataran Merdeka namun tidak mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atas alasan keselamatan.

Perhimpunan diterajui Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) sebagai penganjur yang menjangkakan lebih 100,000 akan hadir.

Pemimpin-pemimpin Pas, wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan peserta perhimpunan turut menggesa supaya kerajaan Malaysia bersuara dan menetapkan pendirian berhubung isu ini.

Dalam ucapan ringkasnya sebelum solat Maghrib, Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub menggesa kerajaan menganjurkan atau menjadi tuan rumah bagi sidang tergempar konflik di Mesir.

"Saya rasa kesal...kenapa Kuala Lumpur kali ini berdiam sahaja? Apa salahnya Malaysia menjadi tuan rumah bagi sidang tergempar kali ini untuk membela nasib orang di Mesir.

"Kejadian seperti ini pernah berlaku di Bosnia, Kroatia dan Kosovo. Namun di Mesir, saudara-saudara kami mati di tangan orang seagama. Kita yang berada di sini perlu buat apa sahaja dan berkorban buat saudara-saudara kita di sana," katanya.

Peserta-peserta Himpunan Munajat 100k menggesa kerajaan Malaysia untuk bersuara tentang kekejaman rampasan kuasa Mesir terhadap rakyatnya.

Turut berkongsi pentas yang sama adalah penghibur Mu'adz Dzulkefly. Beliau berpendapat bahawa kerajaan Malaysia masih belum cukup lantang bersuara dan hanya mengambil langkah ‘tunggu dan lihat’.

“Mungkin pada zaman kepimpinan dahulu (Tun Mahathir), Malaysia lebih lantang bersuara. Namun mungkin ini kepimpinan yang berbeza. Yang penting adalah untuk kerajaan bersuara kerana ini adalah isu kemanusiaan dan ramai di Mesir telah ditindas.

“Sebagai sebuah negara Islam yang hebat, kerajaan kita harus bersuara tentang apa yang salah tetap salah,” kata beliau yang ditemui selepas solat hajat.

Himpunan Munajat 100k

Antara golongan belia yang hadir adalah Muhsin Ahmad, seorang pelajar berusia 22 tahun. Peka dengan apa yang berlaku di Mesir bukan sebagai aktivis, tetapi sebagai seorang rakyat Malaysia yang prihatin, beliau berpendapat bahawa Malaysia boleh memainkan peranan yang penting.

“Kita mungkin belum bersuara sepenuhnya, tetapi kita sudah boleh mula untuk memberi bantuan kemanusiaan,” katanya.

Himpunan Munajat 100k

Ahmad Shakir, 24, berpendapat bahawa ini sudah menjadi isu sejagat umat Islam.

“Walaupun saya orang Malaysia, namun isu ini melibatkan saudara-saudara Islam kami di sana.
.
“Kalau betul kita hendak selesaikan isu ini, kita perlu mengambil sikap campur tangan seperti membuat bantahan, menyuarakan ketidakpuasan hati ataupun mengeluarkan memorandum di parlimen. Presiden Morsi dilantik secara sah menerusi sistem demokrasi namun beliau hilang jawatanya begitu sahaja. Adakah itu adil,” tanya beliau.

Ahmad Syamin, 22, juga berpendapat bahawa kerajaan Malaysia masih neutral tentang isu ini.

“Kita perlu memainkan peranan yang lebih penting. Kita harus lebih tegas. Isu di sana sudah semakin buruk kerana ia melibatkan pembunuhan,” kata Ahmad yang mula berada di Padang Merbok pada jam 3 petang.


Menurut penganjur, perhimpunan ini sebagai bantahan rakyat Malaysia terhadap rejim di Mesir yang melakukan keganasan dan pembunuhan beramai-ramai pengikut bekas Presiden yang dipilih, Mohamed Morsi.

Sehingga kini, media melaporkan hampir 3,000 terkorban dan lebih 10,000 orang cedera apabila anggota keselamatan menggempur khemah penyokong bekas Presiden, Mohamed Morsi, di Dataran Rabaa Al-Adawiya dan Dataran Al-Nahda, Mesir.