Perhimpunan Black505 yang diadakan di Padang Merbok pada Sabtu telah berlangsung dalam keadaan terkawal walaupun terdapat sedikit kekecohan.

Namun jumlah yang hadir hari ini tidaklah boleh dibanggakan.

Cuaca berbahang dan berjerebu dipercayai menjadi antara faktor hanya kira-kira hanya 10,000 peserta sahaja yang hadir dan gagal mengatasi rekod anggaran 100,000 peserta dalam perhimpunan yang sama di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei yang lalu.

Perhimpunan diadakan sebagai salah satu dari ‘road-show’ anjuran Pakatan Rakyat(PR) sebagai tanda protes atas dakwaan penipuan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihan raya yang lalu.

Meskipun polis telah menegaskan bahawa perhimpunan itu adalah menyalahi undang-undang namun tidak sedikit pun menghalang para peserta dari terus berarak dan duduk berhimpun di lokasi sasaran, Padang Merbok.

Apa yang dapat dilihat melalui perhimpunan tersebut adalah hanya segelintir peserta sahaja yang benar-benar bersemangat dalam melaungkan laungan demokrasi dan ketidakpuasan hati terhadap sistem pilihan raya yang dijalankan tempoh hari tanpa menghiraukan panas terik dan situasi berjerebu.

Yang lainnya hanyalah bagaikan bersantai dengan menjamu pelbagai juadah cemil-cemilan yang dijual dari gerai-gerai segera yang dibuka di sekitar kawasan tersebut dan keseluruhan perhimpunan hari ini tidak ubah seperti sebuah karnival keluarga.

Tujuh lokasi iaitu Brickfields, Masjid Ar-Rahman Universiti Malaya (UM), Masjid Negara, Pusat Membeli-Belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan kawasan Pekeliling telah dipilih sebagai tempat untuk para peserta perhimpunan berhimpun sebelum sama-sama berarak ke Padang Merbok.

Di Masjid Ar-Rahman, UM, beberapa aktivis pelajar seperti Adam Adli Abdul Halim, Safwan Anang, Nasruddin Hassan dan Ahli Parlimen Bukit Katil dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin telah berkumpul dan berarak bersama-sama dengan beberapa belia dan mahasiswa universiti berjumlah kira-kira 45 hingga 50 orang.

Jumlah yang sedikit itu, tidak pun menghalang mereka dari menyusuri Jalan Pantai Baru, Jalan Bangsar dan Jalan Travers sebelum menyertai gerombolan besar peserta perhimpunan yang sedang berkumpul dan menunggu mereka di Jalan Tun Sambanthan di Brickfields.

Peserta perarakan di Brickfields yang berjumlah dalam 1500 orang diketuai oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan beberapa aktivis politik seperti Hishamuddin Rais, Haris Ibrahim dan S. Arulchelvan.

Walaupun polis trafik ada mengawal lalulintas, gabungan kedua-kedua perarakan ini sedikit sebanyak menjejaskan lalulintas di Jalan Tun Sambanthan kerana peserta kelihatan memenuhi seluruh pelusuk jalan.

Menurut beberapa peserta yang ditemui, ketiadaan aksi-aksi seperti ‘lontaran bom asap’ dan pancuran air dari trak Unit Simpanan Persekutuan(FRU) dan provokasi dari kedua-dua pihak iaitu peserta dan polis turut dilihat merencatkan suasana perhimpunan kali ini.

Malah, meskipun berada dalam keadaan siap siaga, anggota-anggota polis dan pegawai penguatkuasa DBKL turut dilihat agak ‘tenang’ dalam mengawal dan memantau keadaan perhimpunan tersebut.

Sekitar jam 3.30 petang hingga 5 petang, ada sesetengah peserta perhimpunan dilihat meninggalkan kawasan tersebut kerana tidak tahan dengan bahang panas dan cuaca berjerebu.

Ucapan-ucapan sebelum kehadiran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga kurang kandungannya dan tiada sebarang pengisian yang boleh dimanfaatkan peserta yang hadir.



Sementara itu, dua anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikasari sekumpulan peserta perhimpunan anjuran pembangkang itu kerana cuba menghalang mereka mendirikan beberapa khemah di Padang Merbok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata dalam kejadian 4.30 petang itu, sekumpulan peserta daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia cuba mendirikan beberapa khemah menyebabkan dua anggota DBKL menghalang perbuatan mereka.

Akibat tindakan itu, katanya, keadaan menjadi kecoh dan anggota DBKL telah dikasari.

"Dua anggota penguatkuasa DBKL telah dipukul dan sekarang berada dalam van DBKL," katanya.

Bagaimanapun tidak diketahui tahap kecederaan yang dialami dua anggota penguatkuasa itu.

Ikuti perkembangan perhimpunan menerusi Storify Astro AWANI.

Lihat juga galeri gambar sepanjang perhimpunan.