NIBONG TEBAL: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berharap semua pihak tidak memanipulasikan isu penyaluran sumbangan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah memandangkan isu berkenaan telah pun diselesaikan dengan baik.


Ringkasan AI
  • Penyaluran Sumbangan Tajaan Syarikat Minuman Keras ke Sekolah: Fadhlina berharap semua pihak tidak memanipulasi isu penyaluran sumbangan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah. Isu ini telah diselesaikan dengan baik, dan Jemaah Menteri menegaskan agar tidak perlu dibangkitkan lagi. Kementerian Pendidikan akan fokus pada isu pembangunan sekolah selepas ini.
  • Garis Panduan Penganjuran Program dan Penyaluran Sumbangan: KPM memutuskan untuk mengekalkan garis panduan sedia ada bagi penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah. Aktiviti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.
  • Pertimbangan terhadap Sekolah Vernakular: KPM juga memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan dana melalui Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan yayasan, seperti yang diamalkan sejak pentadbiran terdahulu. Isu ini muncul setelah konsert amal di sebuah sekolah Cina di Sepang melibatkan penajaan dan sumbangan syarikat minuman keras.


Tegasnya, isu tersebut tidak perlu dibangkitkan lagi selepas Jemaah Menteri membuat penegasan mengekalkan garis panduan sedia ada bagi penganjuran program dan penyaluran sumbangan kepada sekolah.

Fadhlina berkata KPM juga kekal dengan keputusan tersebut, seterusnya  akan memberi tumpuan kepada isu pembangunan sekolah yang lebih utama selepas ini.

"Isu ini telah pun selesai dan kita bersama dengan keputusan Jemaah Menteri. Saya harap ia tidak berbangkit lagi dan tumpukan kepada isu pembangunan pendidikan yangg lebih utama ketika ini dan saya harap tidak ada lagi isu dimanipulasi oleh mana-mana pihak. Kita kekal dengan keputusan Jemaah Menteri," katanya.

Fadhlina berkata demikian kepada media selepas perasmian program Pelancaran FIFA Football for School dan Kempen Bola Sepak Wanita FIFA di Sekolah Kebangsaan Tasek Permai, Pulau Pinang pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram.

Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mengeluarkan kenyataan meminta Fadhlina supaya menjadi Menteri Pendidikan untuk Kerajaan Perpaduan dan rakyat, bukannya ‘Menteri Pendidikan Pas’.

Pada 26 Julai lepas, Kementerian Pendidikan memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju untuk mengekalkan garis panduan sedia ada bagi penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.

Menurut kenyataan itu, antara garis panduan tersebut menggariskan aktiviti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.

KPM memaklumkan mesyuarat itu juga mengambil pendirian untuk memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan dana menerusi Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan yayasan seperti mana diamalkan sejak pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Sebelum itu, isu berhubung sumbangan kepada sekolah timbul susulan konsert amal di sebuah sekolah Cina di Sepang baru-baru ini dilaporkan melibatkan penajaan dan sumbangan syarikat minuman keras.