Tiada akses internet bukan alasan buat enam murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pakit Sri Aman untuk tidak menyiapkan tugasan sekolah.

Demi ilmu, penghuni rumah panjang di Kampung Panggau ini sanggup meredah sejauh lima kilometer ke dalam ladang sawit.

Hanya di situ ada liputan internet supaya mereka dapat memuat naik dan menyiapkan tugasan sekolah.

"Cikgu beri banyak kerja sekolah. Dekat kampung tak ada line (talian internet) jadi kami berkumpul dekat sini buat kerja sekolah yang cikgu beri," kata Fiorella Felix, murid tahun 2 SK Pakit Sri Aman.

Mereka tidak bersendirian. Kerja keras mereka ini mendapat perhatian Persatuan Kebajikan Projek Pensel Sri Aman yang tampil memberi sumbangan untuk mereka berteduh daripada kepanasan.

"Kami dari Projek Pensel telah mengambil inisiatif untuk menyediakan khemah dan meja lipat untuk sedikit keselesaan mereka belajar dekat sini," jelas Yen Jebeni, Setiausaha Persatuan Kebajikan Projek Pensel Sri Aman.

Kanopi sumbangan Projek Pensel Sri Aman dijadikan tempat berteduh daripada terik matahari.

Pengorbanan mereka itu mendapat sokongan daripada ibu-bapa yang mahu meihat anak mereka berjaya satu hari nanti.

Bagi Mary Stephen, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP ini memang mencabar. Namun untuk membelakangkan pendidikan anak-anak bukan satu pilihan.

"Sekarang ni cikgu-cikgu menggunakan belajar online, maka kerja rumah dihantar menggunakan talian internet.

"Masalah dekat kampung talian internet tak ada jadi kita bawak ke tempat-tempat macam ni," kata Mary.

Mary pada masa sama berharap kerajaan atau mana-mana pihak yang berkenaan dapat membantu meningkatkan kemudahan internet di kawasan mereka bagi pastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan dari aspek pendidikan.