Bagaimanapun, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad berkata pihaknya dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus meneliti semula undang-undang sedia ada.
“Memang tepat…isu ini berulang kali berlaku dan kita akui ini masalah utama. Dalam soal nikah kahwin, kita tidak dapat buat apa-apa. Orang sudah jatuh cinta, ini hal peribadi mereka.
“Kita (KPKT) bekerjsama rapat dengan KDN seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memantau situasi ini. KPKT terhad dari segi kuasa.
“Kita hanya untuk memantau dan memberi maklumat koordinasi untuk operasi dilakukan. Bagaimanapun dari segi perundangan, pihak KDN lebih mengetahui bagaimana mengatasi jalan keluar (loophole) kerana dengan pernikahan, ia membuka ruang-ruang lain untuk mereka (pekerja asing) melepasi undang-undang sedia ada,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Wee Ka Siong yang langkah kementerian mengatasi helah pekerja asing yang mencari jalan mudah mendapatkan status penduduk tetap (PR) dengan berkahwin dengan rakyat Malaysia.
Menjawab soalan asal Su Keong Siong (PH-Kampar) yang bertanyakan tindakan penguatkuasaan yang telah diambil terhadap Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang berniaga tanpa kebenaran di negara ini, Raja Kamarul berkata KPKT telah mengeluarkan surat kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada 7 Ogos 2019 supaya meningkatkan operasi penguatkuasaan bersepadu bersama agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan seperti PDRM dan JIM bagi tujuan mengekang aktiviti perniagaan di pasar borong yang dimonopoli oleh warga asing.
Mengikut rekod, 599 operasi penguatkuasaan PBT dan 492 operasi penguatkuasaan bersepadu melibatkan pelbagai agensi lain ke atas warga asing telah dijalankan.