KUALA LUMPUR: Penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 yang akan berlangsung di Melaka, Ahad ini dilihat platform terbaik untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama erat wartawan Malaysia-Indonesia.

Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) Malaysia Datuk Mokhtar Hussain berkata HAWANA 2022 akan mengundang 17 pemimpin utama media dari Indonesia termasuk ISWAMI Indonesia untuk menghadiri program itu.

Menurutnya kerjasama erat antara wartawan kedua negara telah lama terjalin malah berperanan penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala kerajaan Malaysia-Indonesia yang seterusnya menyumbang kepada pembangunan bangsa.

"Kehadiran mereka (wakil media Indonesia) pasti memberi makna besar dan ada signifikannya iaitu simbol muafakat antara wartawan dua negara selain membolehkan kita saling berukar pendapat, kemahiran dan pengetahuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jendela Fikir Edisi HAWANA 2022 terbitan Bernama Radio bertajuk 'Hubungan Erat Wartawan Malaysia dan Indonesia' yang disiar secara langsung menerusi Facebook Bernama Radio hari ini.

HAWANA 2022 anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan sokongan ISWAMI serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia bakal dihadiri wartawan dan pengamal media tempatan selain wakil dari beberapa negara jiran.

Selain HAWANA, Mokhtar berkata ISWAMI turut berhasrat meningkatkan penglibatan wartawan dan editor muda untuk mengembangkan lagi ikatan kerjasama media negara berjiran itu.

"Kita cadang nak mantapkan hubungan ini dengan mengembangkan kepada golongan muda. Pada pertengahan Jun ini, kita cadang bawa 20 editor muda dari Indonesia ke Malaysia dan begitu juga dari Malaysia ke Indonesia kerana peranan orang muda ini perlu diketengahkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap HAWANA turut menjadi wadah kepada masyarakat untuk memahami profesion kewartawanan seterusnya bersama-sama membantu wartawan serta pengamal media untuk menggerakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik.

-- BERNAMA