Hasil daripada pengurangan subsidi bahan api akan dimanfaatkan sebaiknya untuk membantu masyarakat luar bandar terutama dari segi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Pengurangan subsidi ini tidak akan sia-sia kerana hasil daripadanya membolehkan kita menyalurkan bantuan kepada masyarakat luar bandar termasuk menggunakannya dalam projek BR1M.

"Daripada memberi subsidi kepada mereka yang tidak memerlukan, lebih baik ia disalurkan terus kepada mereka yang berhak ke atas subsidi itu," kata beliau.

Mohd Shafie mengulas pengurangan subsidi petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa hari ini yang diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan semalam.

Harga runcit baharu bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri rakaman episod akhir Cabaran Perniagaan Luar Bandar di sini hari ini.

Program anjuran kementerian itu bertujuan memberi galakan kepada belia desa mengembangkan perniagaan masing-masing.