Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, setakat ini pemandu tersebut juga belum dapat dikesan.
Bagaimanapun, katanya, pihak polis akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak untuk menjejaki individu dipercayai mengambil bahagian badan harimau belang yang mati itu.
“Pihak polis akan memberi kerjasama untuk menjejaki suspek dan tapi setakat ini kita tak tahu suspek, sebab pemandu lori pun tidak membuat sebarang laporan polis.
“Laporan polis ini (kehilangan anggota badan harimau) setelah tular, pihak Perhilitan yang buat laporan dan kita membantu pihak Perhilitan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan pihak berkuasa sedang mengesan individu yang dipercayai mencuri beberapa bahagian badan harimau belang yang mati digilis lori itu.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa mengenai kes berkenaan.
Beberapa hari lalu, tular sebuah video memaparkan bangkai harimau belang yang sebahagian badannya hancur digilis lori di atas JRTB.